Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petani muda didakwa miliki pistol, 11 butir peluru

Seorang petani muda berdepan pendakwaan atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol beserta 11 butir peluru di Mahkamah Seysen Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik Mod 213 9MM Tara no siri 108791 dan satu kelopak peluru warna perak tanpa kebenaran yang sah.

Pendakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9MM Luger PMC tanpa kebenaran yang sah.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius dan tidak boleh jamin.

Namun peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser memohon tertuduh yang masih bujang itu diikat jamin kerana lelaki itu adalah anak sulung daripada lapan beradik dan membantu bapanya di kebun sayur-sayuran.

"Bapanya kerja sebagai petani dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan, dengan wang itu juga diguna untuk membiayai perubatan ayah dan ibunya yang sakit.

"Saya memohon supaya jaminan yang rendah ditetapkan kerana ini adalah kes pertama tertuduh. Selain itu, pengalaman anak guam saya yang berada dalam tahanan polis selama 11 hari sudah memberi pengajaran kepadanya," rayunya.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan 13 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS