Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang buruh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan hingga mangsa kerugian RM40,000, bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Wan Azmi Wan Abdullah, 38, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja rompak berkumpulan hingga menyebabkan seorang wanita berusia 42 tahun sehingga mengalami kerugian RM40,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di depan pintu Pasar Gok Kapor di Kota Bharu, jam 5.50 petang, pada 19 Mei lalu.

Difaham tertuduh telah merompak kepingan emas, kunci kereta, kad mesin pengeluaran automatik (ATM), subang berlian, wang tunai bernilai RM5,000, beg tangan dan dompet jenama Louis Vuitton ketika mangsa berada di depan pasar itu.

Rompakan itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM40,000.

Dalam pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin itu, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan kerana isteri sedang mengandung selain mempunyai dua anak.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS