Asalnya Parti Aspirasi Sains cuma sekadar jenaka di Twitter yang menyindir PAS.
Tetapi Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) bukan lagi sekadar satira dan hari ini mengambil langkah pertama untuk menjadi entiti sebenar dengan mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Parti ini ditubuhkan sebagai platform bagi rakyat Malaysia yang beriktikad untuk menggubal dasar-dasar awam berasaskan sains dan data yang terbukti," kata Pejabat Setiausaha Agung Sains hari ini.
Katanya, Sains akan menumpukan dasar utama untuk membasmi kemiskinan melalui pendapatan bulanan yang dijamin untuk golongan bawahan (B60); membentuk ekonomi berpusatkan manusia yang akan mewujudka lebih banyak peluang untuk pekerjaan yang baik; pembangunan lestari selari dengan seruan PBB.
Sains - yang mengaku sebagai parti politik berasaskan sains pertama di negara ini - tidak akan mempunyai sayap organisasi berasaskan pemuda atau jantina dan tidak akan mengikuti hierarki parti tradisional.
Katanya, Sains sudah mempunyai 250 orang yang didaftarkan sebagai calon anggota dan 15 ahli jawatankuasa protem.
Logo parti itu memaparkan planet Zuhal (Saturn) berwarna hijau dengan latar belakang putih, yang dilihat seakan mengajuk logo bulan putih PAS dengan latar hijau.
Parti ini awalnya diberi nama Parti Ajaran Sains dan dimulakan ketika presiden protemnya Kenneth Chai 'menyamar' sebagai ahli PAS di Twitter.
“Oleh itu saya pada awalnya melakukan troll (satira mengajuk) sebagai ahli PAS, mengulas keputusan dan tindakan politik mereka.
"Kemudian seorang ahli PAS mengarahkan saya untuk berhenti menggunakan nama parti mereka, jadi saya hanya berkata baiklah, saya akan memulakan parti saya sendiri.
"Pengikut Twitter saya tahu bahawa saya selalu menyiarkan, mengkritik dan berdebat mengenai sains kerana saya seorang guru STEM.
"Jadi saya memulakan parodi, Parti Ajaran Sains, untuk menyindir mereka,” kata Chai kepada Malay Mail.
Harus diingat PAS tidak pernah menyatakan pendirian parti itu sebagai antisains. Misalnya, Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah pakar kejuruteraan aeroangkasa.
Pun begitu Chai mengakui mendaftarkan parti Sains dengan ROS mungkin sukar.
Pada masa ini, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pejuang, pimpinan Dr Mahathir Mohamad masih bergelut pendaftaran parti dengan ROS.