Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC Wilayah Persekutuan cadang sediakan juru pam di stesen minyak
Diterbitkan:  Jun 8, 2021 5:13 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

MIC Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya semua stesen minyak menyediakan juru pam sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, S Rajah berkata, penggunaan pam minyak di stesen minyak oleh orang ramai boleh menyebabkan penyebaran virus berkenaan menjadi lebih mudah.

"Buat masa ini, pengguna masih perlu memegang muncung pam untuk mengisi minyak. Setahu saya muncung pam itu tidak disanitasi.

"Ini boleh menyebabkan penularan kes atau kluster baru apabila ia disentuh oleh pesakit Covid-19.

"Maka, kami mencadangkan bahawa semua stesen minyak mesti menyediakan juru pam agar pengguna tidak perlu mengisi minyak dengan sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 6 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan mendadak kes Covid-19 amat membimbangkan kerana kebanyakan daripadanya adalah kes sporadik.

Dr Noor Hisham menjelaskan, kes sporadik ialah kes yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

Katanya, berdasarkan analisis, trend kes sporadik kekal tinggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 sehingga 5 Jun, dengan 84.3 peratus daripada 52,040 kes baru adalah kes sporadik.

Mengulas lanjut Rajah berkata, cadangan meletakkan juru pam di stesen minyak  mampu menyediakan peluang pekerjaan sementara kepada golongan B40 yang kehilangan kerja akibat pandemik ini.

"Pengusaha stesen minyak boleh mengambil mereka secara kontrak, sehingga situasi Covid-19 dan keadaan ekonomi kembali normal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS