Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tawar khidmat guaman kepada pengkritik langkah PN tangani Covid-19
Diterbitkan:  Jun 7, 2021 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

DAP menawarkan khidmat pasukan guamannya secara percuma untuk membela sesiapa sahaja yang didakwa kerana mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung pendekatan menangani wabak Covid-19.

"Pasukan guaman DAP Kebangsaan serta semua pasukan guaman negeri akan menawarkan khidmat guaman percuma bagi membela di mahkamah mereka yang dijadikan mangsa kerana mengkritik ketidakcekapan Kerajaan PN, kerana mendedahkan amalan dua dalam pematuhan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atau perniagaan yang disaman secara tidak adil akibat kekeliruan dan pusingan U dasar antara Kementerian," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Lim memberi contoh kekeliruan dan pusingan U berhubung keperluan untuk mendapatkan permit semasa sekatan penuh PKP atau "total lockdown" dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengendalikan perniagaan.

Pada mulanya, Miti adalah satu-satunya kementerian yang bertanggungjawab meluluskan permohonan tersebut, sebelum Majlis Keselamatan Negara membatalkan persetujuan itu dan tiba-tiba kembali kepada Miti dalam masa 24 jam, kata Lim.

Tambah Lim, terdapat juga masalah dengan talian khidmata pelanggan dan laman web yang tidak dapat mengendalikan begitu banyak permohonan.

Katanya, masalah itu mengingatkan orang ramai akan kegagalan sistem walaupun telah membelanjakan RM70 juta untuk perkakasan komputer dan sokongan perisian semasa pendaftaran atas talian bagi vaksin menyertai vaksinasi sukarela vaksin AstraZeneca.

Kata Lim lagi, DAP juga akan membela mereka yang menjadi mangsa kerana mengkritik pilih kasih dalam pelaksanaan PKP.

Dia merujuk seorang ahli perniagaan dari Bentong yang sedang disiasat polis setelah mengkritik Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.

Ahli perniagaan Danny Ng mengecam Ti atas masalah yang dihadapi oleh pemilik perniagaan rumah pengebumian yang tidak dibenarkan beroperasi pada awal PKP kerana mereka belum mendapat persetujuan dari Miti.

Lim kemudian mengatakan bahawa DAP juga bersedia menawarkan apa-apa bantuan undang-undang yang diperlukan kepada wanita yang mengambil gambar Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya yang didakwa membuat pandu uji pada 5 Jun di Juru Auto City, Pulau Pinang.

"Walaupun DAP fokus untuk mendukung Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dengan membantu rakyat untuk mendaftar atau memudahkan proses vaksinasi yang pantas dan lancar, kami turut khuatir terhadap peningkatan jumlah aduan dari rakyat biasa mengenai dakwaan wujudnya pengeluaran kompaun tanpa sebarang asas atau secara tidak adil.

"Mereka yang ingin membawa kes ke mahkamah atau memerlukan bantuan guaman boleh menghubungi pemimpin DAP negeri atau wakil rakyat kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS