Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi beri keterangan petang ini isu didakwa pandu uji kereta ketika PKP
Diterbitkan:  Jun 7, 2021 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Selepas didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat pameran kereta di Juru, Pulau Pinang baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia akan memberi keterangan kepada pihak polis, petang ini.

Kata Muhammad Sanusi, dia juga akan memberi kerjasama penuh berhubung perkara itu dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan selepas siasatan penuh dijalankan.

Bagaimanapun, mengulas lanjut perkara itu Sanusi berkata dia ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama seorang pemandu dan polis pengiring.

“Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai serbaneka di Autocity bagi membeli makanan antaranya roti dan minuman. Sementara menunggu pemandu membeli barangan itu, saya menyapa seorang penjual yang sedang menyusun kenderaan di situ.

“Penjual itu yang bernama ‘Ong’ cukup ramah walaupun mulanya dia tak perasan saya Menteri Besar. Kami bersembang mengenai kenderaan dijualnya sebelum saya meminta untuk melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Sanusi, pengawal pengiringnya turut duduk di bahagian belakang kenderaan tersebut dan itu sememangnya sebahagian daripada prosedur biasa keselamatan yang sering berlaku.

“Saya tidak membuat pandu uji langsung sebaliknya penjual itu saja yang memandu kenderaan tersebut.

“Selepas itu, kami melihat pula varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi kali ini saya tidak masuk ke dalam kenderaan. Cumanya apabila pintu kenderaan kedua dibuka, saya ternampak seseorang merakam gambar kami,” katanya.

Bagaimanapun, kata Sanusi, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selain turut memaafkan wanita yang menularkan isu itu.

“Cumanya dia mungkin boleh bertanya secara baik mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, dan saya pun boleh jawab elok-elok,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Nini Siron mendakwa Sanusi berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan di situ.

Dia juga mendakwa berlaku pelanggaran SOP termasuk menaiki kenderaan dengan tiga penumpang sekali gus melebihi had dibenarkan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun hantaran itu kemudiannya dipadam selepas menjadi tular sekali gus mewujudkan pelbagai reaksi netizen.

Sebagai rekod pusat jualan kenderaan termasuk aktiviti pandu uji tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan total lockdown ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad sebelum ini memaklumkan bahawa polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan memanggil semua yang terlibat termasuk Muhammad Sanusi.

Katanya siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS