Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Makan Kongsi 2.0 bantu golongan miskin ketika sekatan pergerakan penuh
Diterbitkan:  Jun 7, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Bersih bersama The Good Kitchen dan Engage, melancarkan semula kempen Makan Kongsi untuk membantu memberi makan kepada golongan miskin sepanjang penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Penguatkuasaan dibuat sejak 1 Jun lalu dan dijangka untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

Kempen seumpamanya telah pun dijalankan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu. Ketika itu, mereka berjaya mengumpul RM565,000 bagi membantu kira-kira 51 NGO dan juga kegiatan komuniti untuk mengagihkan makanan dan keperluan asas kepada masyarakat yang memerlukannya.

Inisiatif terbaru yang dinamakan Makan Kongsi 2.0 ini akan diketuai oleh The Good Kitchen, sebuah syarikat sosial dan Engage, sebuah kumpulan hak asasi manusia.

Bersih akan bertindak sebagai rakan kongsi untuk memastikan ketelusan dalam pengendalian dana.

"Kami ingin mengumpulkan RM500,000 dari sekarang hingga akhir Julai untuk menyediakan keperluan asas kepada sekurang-kurangnya 30,000 individu dari kelompok rentan seperti miskin bandar dan pedalaman, nelayan, Orang Asli, pekerja migran dan pelarian yang berada di seluruh negara, "kata tiga NGO itu dalam kenyataan bersama.

Golongan miskin adalah yang paling teruk terkesan dengan sekatan pergerakan penuh akibat kehilangan punca pendapatan.

Ramai yang tidak dapat mencari pendapatan semasa sekatan pergerakan penuh dan terpaksa bergantung kepada bantuan untuk meneruskan hidup.

Bersih, The Good Kitchen and Engage berkata lagi, wang yang diperoleh akan digunakan untuk memberi dana kepada NGO untuk membantu komuniti sasaran mereka.

"Ini supaya NGO ini dapat memberi fokus kepada penyediaan keperluan asas berbanding risau untuk mengumpul sumbangan," kata mereka.

Perincian kempen Makan Kongsi 2.0 boleh didapati di sini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS