Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 bawah 1.0 buat kali pertama sejak April
Diterbitkan:  Jun 7, 2021 8:57 AM
Dikemaskini: 12:57 AM

Kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 di Malaysia turun di bawah paras 1.0 buat kali pertama sejak April.

Kadar tersebut sedikit demi sedikit menurun pada minggu lalu, menunjukkan kadar penularan wabak yang kian menurun.

Menurut data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kadar kebolehjangkitan semalam adalah 0.99.

Kali terakhir nilai itu di bawah 1.0 adalah pada 7 Aprol. Ia mencapai kadar tertinggi pada 23 Mei dengan 1.21, namun mula menurun sejak 30 Mei.

Kadar kebolehjangkitan lebih 1.0 yang berlanjutan bermakna kes baru akan meningkat dengan pesat, sementara kadar di bawah 1.0 bermakna kes baru mula berkurang.

Jumlah kes baru harian kekal tinggi, antara 6,000 hingga 8,000 kes pada minggu lalu.

Untuk melihat angka ini berkurang, kadar kebolehjangkitan perlu dikekalkan di bawah 1.0 untuk minggu-minggu seterusnya.

Sejak 1 Jun, sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak.

Jumlah pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kekal tinggi namun peningkatannya kian perlahan pada minggu lalu.

Pada minggu lalu seramai 44 lagi pesakit dirawat dalam ICU, menjadikan jumlah keseluruhan 890 pesakit yang dirawat di unit tersebut setakat semalam.

Kadar itu kurang jika dibandingkan dengan 165 pesakit baru dirawat dalam ICU pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah pesakit yang meninggal dunia pada minggu depan mungkin akan terus meningkat ekoran jumlah pesakit dalam ICU yang tinggi.

Negara menyaksikan lebih 100 korban dalam sehari, untuk tiga hari sepanjang minggu lalu.

Jumlah korban tertinggi adalah pada 2 Jun, dengan 126 kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS