Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH: Malaysia berhak tuntut penjelasan munasabah dari China
Diterbitkan:  Jun 6, 2021 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Pakatan Harapan (PH) berkata tindakan bipartisan perlu diambil kerajaan berhubung isu 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu pada 31 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, Malaysia berhak mendapat penjelasan yang munasabah daripada China.

Katanya tindakan pesawat-pesawat tersebut yang enggan mematuhi arahan untuk menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu adalah membahayakan keselamatan ruang udara dan tidak berniat baik.

"Apabila pesawat asing dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika dari zon maritim Malaysia, tindakan ini adalah mencurigakan dan tidak selari dengan “orde dunia berasaskan peraturan” (rules based international order).

"Pakatan Harapan memandang serius insiden ini dan menegaskan hak Malaysia untuk mendapat penjelasan yang munasabah daripada negara China," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kedutaan Besar China di Malaysia sebelum ini berkata pesawat berkenaan menjalani latihan rutin dan tindakan itu mematuhi undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Pasifik mengecam pencerobohan pesawat-pesawat tersebut yang turut terbang di ruang udara Taiwan.

Sementara itu PH berpendapat isu mustahak yang menyentuh kedaulatan negara dan pembaharuan pertahanan perlu diuruskan secara dwipartisan.

"Insiden ini membangkitkan beberapa persoalan penting termasuk pelan tindakan untuk menangani pencerobohan serta pemodenan keupayaan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019.

"Bagi menghadapi krisis dan wabak Covid-19, kerajaan dan pembangkang harus mengetepikan soal politik dan mencari jalan penyelesaian bersama atas dasar kepentingan negara," katanya.

Justeru PH turut mencadangkan supaya Menteri Pertahanan menganjurkan taklimat rasmi dwipartisan berkenaan isu tersebut bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS