Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parlimen 'hibrid' mungkin lumpuhkan peranan MP, kata Guan Eng
Diterbitkan:  Jun 6, 2021 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menyatakan kebimbangan Parlimen 'hibrid' yang direncana Putrajaya akan melumpuhkan peranan ahli parlimen.

Jelasnya, ini kerana darurat akan berakhir pada bulan Ogos, yang juga akan menyaksikan penggantungan Parlimen ditarik semula.

Lim berkata semua anggota parlimen mendapat vaksin Covid-19 dan jika ada kebimbangan mengenai 380 kakitangan parlimen, mereka juga boleh diberi vaksin.

"Keengganan untuk melakukannya menunjukkan kurangnya kemahuan politik atau niat sebenar untuk tidak membenarkan sesi parlimen bagi mengelakkan sebarang isyarat jelas bahawa kerajaan PN telah kehilangan majoriti parlimennya untuk memerintah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengatakan telah bersetuju "secara prinsip" untuk mengkaji kemungkinan persidangan Parlimen "hibrid".

Lim mendesak kerajaan untuk melibatkan pembangkang dalam rancangan itu.

"Takiyuddin harus diingatkan bahawa parlimen adalah milik semua ahli parlimen dan bukan hanya dari kerajaan.

"Ahli parlimen pembangkang perlu dibenarkan memberi input dan menyumbang pandangan mereka.

"Kegagalan untuk berbuat demikian berisiko menjadikan Parlimen hibrid sekadar "rubberstamp" walaupun sebelum ia bersidang," katanya.

Tambah Lim, kebimbangan terbesar adalah sekiranya ahli parlimen yang hadir secara maya dinafikan hak untuk memainkan peranan perlembagaan mereka sepenuhnya.

"Lagi pun tidak ada alasan mengapa semua ahli parlimen tidak boleh mengambil bahagian secara fizikal apabila mereka telah divaksinasi dengan lengkap.

"Apa gunanya memvaksinasi semua Ahli Parlimen dan masih menutup Parlimen, ketika sekolah, premis perniagaan dan bahkan stadium sukan boleh dibuka sebelum PKP, walaupun bukan semua orang telah divaksin?" katanya.

Sementara itu, pembangkang Pahang memuji rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan persidangan DUN sebaik sahaja darurat berakhir pada bulan Ogos.

Persidangan DUN ditetapkan untuk bersidang pada 16 hingga 20 Ogos sekiranya darurat tidak dilanjutkan.

"Sekiranya kerajaan Pahang dapat menunjukkan keazaman serta kebijaksanaan untuk membuka semula DUN maka Parlimen, sebagai badan perundangan utama negara, tidak mempunyai alasan untuk mengelakkan diri daripada amanahnya," kata sekumpulan Adun pembangkang negeri Pahang dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua pembangkang Pahang, Lee Chin Chen; Adun Triang, Leong Yu Man; Adun Tras, Chow Yu Hui; Adun Sabai, Kamache Doray Rajoo; Adun Ketari, Young Syefura Othman; Adun Mentakab, Woo Chee Wan dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong.

Mereka mengatakan parlimen lebih diperlukan ketika ini berbanding sebelumnya kerana rakyat sedang berdepan pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS