Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP dakwa Kepong dianaktiri program saringan percuma di KL
Diterbitkan:  Jun 5, 2021 3:52 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dituduh menganaktirikan kawasan Kepong dalam program saringan Covid-19 percuma untuk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata semua kawasan yang terletak di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kepong dikategorikan sebagai zon merah dengan kira-kira 300 kes positif setiap hari dan mempunyai ramai warga emas berisiko tinggi.

Bagaimanapun, katanya, kawasan tersebut disisihkan daripada program berkenaan.

“Walau bagaimanapun, di dalam senarai yang dikeluarkan oleh KWP, tiada langsung tempat di kawasan Kepong mahupun di kawasan yang berdekatan dengan Parlimen Kepong.

“Apakah perkara ini disengajakan? Program ini dijadualkan berjalan sebulan, mengapakah kawasan parlimen Kepong tidak disertakan sekali,” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Lim, meskipun Kepong diwakili oleh wakil rakyat pembangkang, ia tidak harus dipinggirkan sedemikian rupa kerana penduduk di kawasannya juga merupakan pembayar cukai.

“Walaupun saya ahli parlimen pembangkang, orang-orang Kepong tidak perlu dilakukan sebegini.

“Mereka bayar cukai tanah, cukai pintu serta pelbagai jenis cukai kepada pihak kerajaan setiap tahun, justeru mereka tidak boleh dipinggirkan!

“Mereka adalah penduduk di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan apa-apa program di bawah seliaan KWP, mereka berhak untuk dilibatkan!” tegasnya.

Berdasarkan hantaran laman Facebook KWP, hanya 27 daripada 67 PPR di Kuala Lumpur yang akan terlibat dalam peringkat pertama program saringan percuma itu, manakala lokasi lain akan dikenal pasti dari semasa ke semasa.

Untuk rekod, Titiwangsa, Kepong, Segambut dan Seputeh tidak dilibatkan dalam program saringan itu.

Saringan percuma itu dijadualkan berlangsung antara 5 Jun hingga 5 Julai.

Kuala Lumpur mencatatkan kes harian baru yang tinggi, dengan purata 663 kes harian untuk 14 hari kebelakangan ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS