Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
19 lagi kes varian yang membimbangkan dikesan
Diterbitkan:  Jun 4, 2021 10:17 PM
Dikemaskini: 3:05 PM

Kementerian Kesihatan mengesan 19 kes Covid-19 melibatkan Varian yang Membimbangkan (VOC) sejak 24 Mei, menjadikan jumlah kes tersebut adalah sebanyak 122 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 15 kes tersebut adalah varian Beta (B.1.351) yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

Enam kes dilaporkan di Johor, lima di Kelantan; sementara Kuala Lumpur, Kedah, Melaka dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kes.

Semua kes adalah jangkitan tempatan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 104 kes varian Beta yang terdapat di Malaysia setakat ini.

Varian Beta dikaitkan dengan peningkatan penularan dan vaksin Covid-19 yang ada kurang berkesan dalam mencegah jangkitan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, empat kes lain adalah varian Delta (B.1.617.2) yang pertama kali dikesan di India.

Tiga kes dilaporkan di Labuan dan satu di Kuala Lumpur.

Kes di Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan, manakala kes di Labuan merupakan jangkitan dari luar negara dan merupakan sebahagian daripada kluster Layangan Labuan.

Varian Delta dikaitkan dengan peningkatan penularan dan keberkesanan vaksin yang sedikit berkurang.

Secara keseluruhan, sembilan kes varian Delta telah dikesan, tiga di antaranya dikesan semasa ujian saringan di sempadan negara.

"KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini dalam komuniti," jelasnya.

Sebagai rekod, keupayaan Malaysia untuk melakukan servelan genom sangat terhad, yang menyukarkan untuk mengesan penyebaran varian Covid-19 di negara ini.

Menurut pangkalan data genom Gisaid, Malaysia hanya melakukan penjujukan dan berkongsi 172 sampel genom Covid-19 dengan komuniti saintifik dalam 90 hari lalu, yang mewakili 0.06 peratus kes yang disahkan dalam tempoh tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS