Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takut pada Allah bukan penghalang untuk berikhtiar - Zulkilfi
Diterbitkan:  Jun 4, 2021 10:04 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Rasa takut kepada Allah bukan penghalang buat umat Islam untuk berusaha dan berikhtiar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad.

Hadir sebagai undangan dalam Forum Perdana Ehwal Islam malam semalam, Zukifli mengupas tajuk forum "Takut Allah atau takut Covid-19?" selain turut diajukan soalan- soalan hangat daripada netizen oleh moderator.

Zulkifli menjelaskan Saidina Umar Al-Khatab pernah tidak memasuki Syam yang dilanda wabak sehingga dipertikaikan seorang sahabat bahawa khalifah itu ingin lari daripada takdir Allah.

“Saidina Umar menjawab: aku lari daripada qadak Allah kepada qadar-Nya.

"(Ini) menggambarkan kepada kita, Saidina Umar, di situ ada usaha, ada ikhtiar, bukan isu kita takut kepada Covid-19 ni syirik atau tidak.

“Kefahaman tentang takut kepada Allah bukan menghalang kita untuk kita berikhtiar, bahkan ia sejuzuk daripada makna kita takut kepada Allah,” katanya.

Qadak ialah takdir yang merupakan kejadian mengikut ketetapan Allah manakala qadar ialah takdir yang ditetapkan Allah sebelum berlaku sesuatu.

Terdahulu Zulkifli mengulas komen seorang netizen yang mengatakan masyarakat Islam kini lebih takutkan Covid-19 berbanding Allah.

“Masyarakat sekarang lebih takutkan Covid-19 daripada takutkan Tuhan. Dalam tak sedar, asbab Covid-19, umat Islam melakukan syirik kepada Allah,” tulis individu berkenaan.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata takwa atau takut kepada Allah sebagai khalik (pencipta) menyebabkan manusia mentaati perintah dan tidak menderhakainya untuk menjadi lebih dekat dengan-Nya.

Ini katanya, berbeza dengan takutkan makhluk yang menyebabkan seseorang itu menghindarkan diri daripada makhluk berkenaan.

Menurutnya, wabak Covid-19 itu sendiri adalah makhluk, yang mana untuk menghindarinya, manusia perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan mendengar nasihat pakar perubatan.

Hukum Islam tak diputuskan secara semborono

Zulkifli turut diajukan isu penjarakan dalam solat berjemaah yang didakwa sesetengah pihak, merupakan bidaah dalam agama.

Katanya, hal-hal seumpama itu bukan hanya diputuskan segelintir ulama, tetapi ulama besar seluruh dunia mempertimbangkannya sebelum tampil dengan pendirian hampir sama, iaitu menganjurkan penjarakan dalam saf jemaah.

Malah di Malaysia sendiri, katanya, hukum Islam bukan diputuskan secara semborono, sebaliknya melalui perbincangan dengan semua mufti negeri sebelum diputuskan.

Mengenai vaksin pula Zulkifli berkata dia telah mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk mufti dalam dan luar negara, selain pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Alhamdulillah, dapatan kami menunjukkan bahawa vaksin seperti Pfizer, AstraZeneca dan beberapa lagi itu, ia selamat daripada unsur najis, daripada apa (bahan) yang diperkatakan, dia bukan dibuat daripada itu (bahan haram). Ertinya, dia sifatnya halal.

“Cara pemprosesannya adalah baik dan benar,” katanya yang turut menyebut beberapa nama ulama besar dunia yang sudah menerima vaksin, termasuk imam besar Masjidil Haram Sheikh Abdur Rahman As Sudais.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS