Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan kaji sidang parlimen secara hibrid - Takiyuddin
Diterbitkan:  Jun 4, 2021 6:13 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Lima bulan selepas parlimen digantung akibat perisytiharan darurat, kerajaan kini mengkaji konsep dan mekanisma bagi melaksanakan sidang parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim serta timbalan-timbalan mereka.

"Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep parlimen hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.

"Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin berkata mesyuarat yang diadakan juga membincangkan persiapan ke arah pelaksanaan parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

"Langkah ini diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat," tambah Takiyuddin.

Kenyataan Takiyuddin hari ini dilihat bercanggah dengan pandangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung perkara itu.

Terdahulu Hamzah berkata parlimen hanya akan bersidang semula selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok dalam membendung Covid-19.

"Jadi kalau kita nak buka (parlimen) secara virtual, banyak masalah lain pula. Kerana macam mana nak buat secara virtual, ramai, pegawai kerajaan, beribu lagi," katanya.

Kerajaan persekutuan sebelum ini menerima tekanan hebat daripada pembangkang dan parti sekutunya Umno agar sidang parlimen diadakan semula.

Gesaan terbaru dibuat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, yang juga ahli parlimen Pengerang dari Umno.

Perikatan Nasional setakat ini enggan menerima gesaan sedemikian dengan alasan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 meskipun kebanyakan menteri dan ahli parlimen sudah mendapat suntikan vaksin.

Pengkritik mendakwa kerajaan PN tidak mahu mengadakan sidang parlimen bagi mengelakkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS