Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: PN patut halang pesawat Israel guna ruang udara M'sia

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengkritik Putrajaya kerana membenarkan pesawat Israel melintasi ruang udara negara.

Untuk rekod, Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomasi dengan Israel.

Bagaimanapun, Mahathir berbelah-bahagi berkenaan insiden 16 pesawat ketenteraan China dikesan di ruang udara Zon Maritim Malaysia.

Bercakap dalam sidang media dalam talian petang tadi, kata Mahathir, kerajaan gagal mengambil kira pandangan umum rakyat terhadap Israel.

“Pada pandangan saya, kerajaan tak sepatutnya membenarkan pesawat Israel terbang dalam ruang udara Malaysia.

“Walaupun mereka hendak ke Singapura, mereka boleh pergi (melalui) luar ruang udara Malaysia.

“Tapi saya rasa kerajaan kita tak sedar tentang perasaan rakyat di negara ini. Rakyat negara ini tidak mahu melihat pesawat Israel terbang melalui (udara) Malaysia,” katanya ketika ditanya soal itu.

Minggu lalu, Kementerian Pengangkutan mengesahkan pesawat Boeing 737-400 milik Israel melintasi ruang udara Malaysia pada 19 Mei dalam perjalanan ke Singapura.

Pesawat itu mengikuti mengikuti laluan penerbangan komersial yang digunakan oleh mana-mana pesawat awam ketika melintasi ruang udara Malaysia menurut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pesawat itu tidak berlegar-legar di ruang udara Malaysia atau menunjukkan corak penerbangan yang tidak normal.

“Berdasarkan peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udaranya selagi ia tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara kita," kata kementerian berkenaan.

China akan hormat Malaysia

Pada Isnin lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memintas 16 pesawat tentera China kerana penerbangan "mencurigakan" dekat Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Kedutaan China kemudian menafikan yang pesawat-pesawat itu menyasarkan mana-mana negara, sebaliknya hanya menjalani latihan rutin dan tidak memasuki ruang udara wilayah negara lain.

Ketika ditanya soal itu, Mahathir mengambil maklum bahawa pesawat berkenaan tidak memasuki ruang udara Malaysia.

Dia menjangkakan Beijing dan Malaysia akan menangani isu itu secara aman.

“Mereka dilaporkan terbang berdekatan ruang udara Malaysia, saya tahu sama ada mereka benar-benar terbang dalam ruang udara Malaysia [...]

“Saya rasa China akan hormat pendirian Malaysia dalam isu ini kerana kita tak akan sengaja-sengaja hendak bermusuh antara satu sama lain,” katanya.

Ekoran insiden 31 Mei itu, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein berkata, mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak bermaksud akan menjejaskan keselamatan negara.

Dia memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan dan menyampaikan keprihatinan serius mengenai hal itu, selain mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan Republik Rakyat China.

Pesawat China itu terbang menghampiri 60 batu nautika (111km) daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak.

Beting Patinggi Ali merupakan sebahagian kawasan maritim yang menjadi pertikaian antara China dan beberapa negara termasuk Malaysia.

Malaysia dan China masing-masing mendakwa mempunyai kedaulatan terhadap beting itu tetapi dakwaan China tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS