Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM tawar PPV pandu lalu, bergerak

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kedua di negara ini yang menyediakan pemberian vaksin melalui ‘pandu lalu’ dan yang pertama secara ‘bergerak’.

Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad berkata ia antara usaha kementerian dalam menggerakkan tenaga kerja kesihatan Universiti Awam dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) untuk terlibat dalam PPV IPT supaya sasaran 150,000 dos vaksin sehari dapat dicapai menjelang akhir Jun ini.

“Program ini akan memfokuskan kepada penduduk di kawasan bandar dan luar bandar terutama bagi mereka yang mempunyai masalah capaian akses kepada vaksin, masalah kemudahan kenderaan dan lain-lain lagi.

“Melalui pelaksanaan program pemberian vaksin secara pandu lalu dan mobile (bergerak) ini, ia akan dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok lebih cepat,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di HCTM di Kuala Lumpur hari ini.

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menjadi perintis kepada kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu itu melalui dua fasa iaitu fasa pertama bermula 22 Mac manakala fasa kedua mulai 25 Mei lepas.

Noraini berkata ketika ini kementerian menerima beberapa permohonan daripda HPU lain untuk menawarkan perkhidmatan PPV pandu lalu.

“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai hal ini dan akan memaklumkan semula selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“PPV pandu lalu ini mestilah mempunyai kawasan yang cukup luas dan prosedur operasi standard (SOP) PPV pandu lalu ini sedang dibangunkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF)," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS