Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hanya beberapa jam selepas Malaysiakini melaporkan penderitaan pelajar untuk mengikut pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), beberapa pihak tampil untuk menyalurkan bantuan kepada mereka. 

Antaranya Pertubuhan Kebajikan Dana Insan Malaysia yang berhasrat meringankan bebanan tersebut dengan bantuan yang perlu, termasuk sumbangan RM5,000 bagi setiap pelajar terbabit.

Pengerusi NGO itu, Ahmad Shukri Yusoff, berkata dia dapat merasakan sendiri kesulitan diamali remaja terbabit selepas membaca laporan Malaysiakini.

Ahmad Syukri berkata dalam keadaan negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, NGO itu akan berhubung dengan rakan mereka di Kelantan bagi menyalurkan bantuan berkenaan.

“Saya jangkakan dalam RM5,000 seorang akan diberikan selain keperluan lain yang dirasakan sesuai," katanya kepada Malaysiakini.

Dari Selangor ke Kelantan

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bagaimana empat pelajar dari kawasan Ketereh, tidak jauh dari Kota Bharu, Kelantan terpaksa mencari alternatif yang ada untuk meneruskan PdPR sepanjang PKP.

Mereka ialah Shamimi Syafiqah Rosli, 15 tahun, pasangan adik-beradik Anis Natasha (17) dan Ammy Nazira (16), dan Anis Arini (20)

Untuk rekod, sebelum ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz - ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Nov tahun lalu - mengumumkan bantuan 150,000 komputer riba kepada pelajar yang tidak bernasib baik.

Komputer berkenaan akan disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan menyasarkan keluarga B40 sebagai penerimanya. Bagaimanapun, banyak pihak mempersoalkan pemberian yang dikatakan masih belum diterima.

Sementara itu Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah turut bersetuju mengagihkan komputer riba kepada setiap pelajar terbabit selepas tersentuh dengan kisah penderitaan mereka.

Bersimpati dengan keadaan itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor itu berkata dia akan mencari jalan untuk menyalurkan bantuan berkenaan ke Kelantan memandangkan aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan buat masa ini.

“Apabila saya baca berita ni saya memang sangat bersimpati sebab mereka perlu berjalan atau pergi dari satu tempat yang jauh atau untuk pinjam komputer riba, ada yang buat kerja sekolah di kafe siber,” katanya.

Menurutnya lagi kerajaan perlu menyelesaikan isu pemberian komputer riba percuma kepada pelajar secepat mungkin kerana negara telah berdepan dengan PKP sejak tahun lalu lagi.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut memberi respons terhadap laporan tersebut.

“Saya terbaca kisah pelajar tingkatan 5 di Kampung Banggol Lepah. Saya minta beliau ke pusat khidmat serta-merta, saya hadiahkan sebuah tablet untuk kegunaan pelajar,” tulisnya di Twitter. 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS