Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Buat yang bekerja, rayuan PM agar duduk rumah 'gurauan kejam' - MP
Diterbitkan:  Jun 3, 2021 3:34 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Rayuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar rakyat duduk di rumah merupakan gurauan kejam bagi mereka yang keluar bekerja, kata Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew.

Ini kerana katanya, terdapat kira-kira 2 juta pekerja kilang dan pejabat di bawah 17 sektor perkhidmatan masih tetap perlu bekerja dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Perdana menteri meminta rakyat memahami kerana kerajaan tidak boleh membiarkan ekonomi negara runtuh. Tetapi dalam soal hidup dan mati, keutamaan kita harus sangat jelas. Hidup mesti selalu diutamakan.

“Hari ini, kumpulan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), peniaga kecil dan orang biasa serta pekerja bawahan yang harus menanggung beban semua SOP dan penutupan.

“Saya semakin jemu melihat perdana menteri meminta kita tinggal di rumah dan jaga diri.

“Kepada 2 juta pekerja kilang dan pejabat di 17 sektor yang harus terus bekerja di tempat kerja mereka dan terdedah kepada risiko jangkitan, rayuan ‘untuk tinggal di rumah’ adalah gurauan yang kejam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia dipercayai merujuk nasihat Muhyiddin yang berulangkali meminta orang ramai agar melakukan kawalan kendiri termasuk ketika mengumumkan program bantuan Pemerkasa Plus pada 31 Mei lalu.

Negara kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu, kecuali di Sarawak (sejak 29 Mei).

Bagaimanapun, dengan lonjakan kes yang semakin tinggi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) di seluruh negara selama 14 hari bermula tengah malam ini hingga 14 Jun - kecuali Sarawak yang tidak melaksanakannya.

Dalam sekatan pergerakan penuh, semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali sektor-sektor yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu dalam 17 sektor.

Ini mengundang kritikan banyak pihak yang mendakwa lebih banyak kilang wajar dihalang daripada beroperasi memandangkan data kerajaan menunjukkan sektor perkilangan dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar kes Covid-19 setakat ini.

Tan berkata sektor pembuatan terutamanya kilang merupakan penyumbang utama kluster kerja, dengan 62 daripada 115 kluster tempat kerja yang dilaporkan antara 12 hingga 26 Mei ialah daripada sektor pembuatan.

“Dengan keadaan ini, mengapa kerajaan masih membenarkan begitu banyak kilang untuk terus beroperasi dengan 60 operasi tenaga kerja? 

"Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Mohamed Azmin Ali) perlu menjelaskan keputusannya ini,” katanya lagi.

Sebagai contoh Tan berkata industri elektronik di peringkat dunia tidak akan runtuh jika Malaysia menghentikan pengeluaran selama dua minggu memandangkan esport negara bagi sektor itu hanya sekitar 7 peratus.

“Begitu juga dengan industri lain. Memang diakui pengilang mungkin akan mengalami kerugian tetapi perniagaan mereka tidak akan runtuh sama sekali.

"Ketika negara-negara lain menutup kilang dan mengurangkan pengeluaran untuk menahan penyebaran virus, pemerintah kita membenarkan kilang beroperasi dengan peningkatan pengeluaran," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS