Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Bank Negara ada kuasa arahkan moratorium untuk M40

Pada 31 Mei lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan kewangan terbaru Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) bernilai RM40 bilion bagi menghadapi situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Namun pakej terbaru itu hanya melibatkan suntikan tunai atau fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion. Tidak semua golongan dibantu terutama golongan M40 yang pendapatan isi rumah mereka antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan.

Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan dalam pakej itu hanya melibatkan golongan B40 yang pendapatan isi rumah setakat RM5,000 saja layak.

Golongan M40 - walaupun mempunyai pendapatan yang lebih - namun dengan kadar inflasi yang dijangka meningkat 5 peratus pada suku tahun ini, kehidupan mereka juga terkesan teruk.

Seharusnya, golongan itu turut dibantu dengan memberikan moratorium ke atas pinjaman perumahan, sewa beli kereta, pinjaman peribadi atau pendidikan.

Bank atau institusi kewangan tidak akan gulung tikar hanya dengan memberi moratorium kepada golongan B40 dan M40. Bank Negara sebagai bank pusat mempunyai kuasa penuh mengarahkan bank atau institusi kewangan memberikan moratorium berdasarkan peruntukan undang-undang berikut:-

i) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberikan kuasa yang cukup luas kepada kerajaan untuk membuat atau meminda apa sahaja undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium. Ironinya, kerajaan menggunakan kuasa meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi, amat pelik untuk membantu M40, kerajaan hilang kuasa pula.

ii) Seksyen 5 Akta Bank Negara (2009) memperuntukkan fungsi Bank Negara untuk mengatur (regulate) dan mengawal selia (supervise) institusi kewangan dan seksyen 72 pula memberikan kuasa untuk membuat apa-apa polisi monetari dan kewangan dan ini termasuklah polisi moratorium pinjaman.

Jika moratorium ke atas golongan B40 boleh dibuat, kenapa pula ke atas M40 tidak boleh?

iii) Seksyen 6,7 dan 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 memberikan kuasa kepada Bank Negara menetapkan apa-apa polisi kewangan untuk dijalankan oleh bank atau institusi kewangan dan ini termasuklah moratorium ke atas golongan M40.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus lebih peka dengan rintihan rakyat yang rata-rata mengharapkan perlindungan daripada kerajaan. Walaupun Bank Negara perlu bertindak bebas (independent) dalam menentukan dan mengawal selia polisi monetari dan kewangan negara, namun kerajaan melalui Menteri Kewangan boleh mengadakan konsultansi dengan Bank Negara berkaitan moratorium sepertimana peruntukan seksyen 72 Akta Bank Negara.

Apatah lagi kerajaan sendiri memiliki beberapa buah bank seperti Bank Rakyat, SME Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pakej-pakej rangsangan ekonomi seharusnya bersifat lebih komprehensif untuk meringankan beban rakyat yang terkesan teruk akibat kelemahan tadbir urus kerajaan sekarang.


FAIZ FADZIL ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional dan Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS