Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis ambil keterangan wanita didakwa persenda agama

Polis sudah mengambil keterangan seorang usahawan kosmetik di Kelantan yang didakwa mempersendakan agama Islam baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata polis memanggil wanita berusia 30-an itu pada Isnin lalu.

Polis juga mengambil keterangan dua individu lagi yang terbabit dalam video tular berkenaan, katanya lagi.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kita menganggap kes ini sudah selesai buat masa ini kerana keterangan sudah diambil. Siasatan lanjut akan dijalankan," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, polis menerima laporan berkaitan satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita didakwa mempersendakan agama Islam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, dilaporkan berkata laporan diterima ibu pejabat polis daerah intu pada pagi Ahad lalu.

Katanya, pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp malam sebelumnya, memaparkan wanita Melayu lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak sembahyang pada 2021.

Dalam perkembangan itu Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, meminta pihak berwajib menyiasat sebab dia mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Bagaimanapun usaha Malaysiakini mendapatkan respon daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) setakat ini belum berjaya.

Sebagai rekod, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, Seksyen 120 (mencerca agama), seseorang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan mencerca agama antara lain ditakrifkan kesalahan secara lisan atau tulisan atau kelakuan yang nyata atau sebarang cara lain, mencerca atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencerca atau menghina agama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS