Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Derita pelajar tanpa peranti: Ulang-alik lebih 10km pinjam laptop kawan

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu sudah tamat apabila cuti penggal persekolahan selama dua minggu bermula.

Namun tidak seperti biasa cuti persekolahan kali ini dilatari dengan perintah sekatan pergerakan penuh mulai 1 hingga 14 Jun. Sekolah dijadual akan kembali dibuka pada hari terakhir pelaksanaan sekatan pergerakan berkenaan.

Kekangan PdPR akan kembali membelenggu pelajar yang kurang bernasib baik sama ada kerana tiada peranti sepatutnya, capaian internet lemah dan suasana pembelajaran tidak kondusif.

Seorang pelajar tingkatan lima, Anis Natasha Junoh, misalnya menceritakan bagaimana sebelum ini dia terpaksa ke rumah kawan sekelasnya - yang terletak 10km dari rumahnya - hanya untuk meminjam komputer riba dan mendapat capaian internet yang selesa.

Dan jarak yang perlu ditempuh pelajar yatim piatu dan berusia 17 tahun itu setiap kali mahu meminjam komputer riba ialah kira-kira 12km.

Ditemui Malaysiakini di Kampung Banggol Lepah, Ketereh Anis Natasha memberitahu sejak kehilangan ibu bapa akibat kemalangan jalan raya pada 2007 dia dan adiknya Ammy Nazira, 16, tinggal bersama ibu saudara mereka.

Anis Natasha baru berusia 3 tahun ketika dia dan adiknya menjadi yatim piatu.

“Di kampung ini memang tiada capaian internet. Kalau ada pun, kadang-kadang saja. Oleh sebab itu saya terpaksa pergi tumpang rumah kawan untuk mendapatkan akses internet selain berkongsi komputer riba untuk belajar," katanya.

Bagaimanapun itu bukanlah berita terburuk buat pelajar terbabit.

Katanya jika sesi persekolahan dibuka dan sekatan pegerakan penuh masih belum ditarik balik, dia akan berdepan masalah juga kerana tidak boleh ke rumah kawannya.

Kena ke kafe siber

Buat masa ini katanya memang ada sebuah telefon genggam yang digunakan untuk belajar tetapi ia perlu dikongsi dengan Ammy Nazira. Justeru katanya komputer riba memang diperlukan.

Selain itu, kekangan kelajuan internet memaksa mereka menjadikan kawasan di belakang rumah - dan berhampiran hutan - untuk mendapatkan maklumat.

“Kami akan bawa tikar untuk belajar di belakang rumah ini kerana di situlah capaian internet paling laju diperolehi.

“Kami terpaksa kerana pada waktu ini kalau terlepas kelas atas talian kalau internet memang betul-betul tiada, kami kena telefon kawan untuk bertanyakan semula mengenai kelas yang terlepas itu,” jelasnya.

Kesempitan dialami adik-beradik itu bukanlah isu terpencil. Situasi itulah yang mendorong Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz - ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Nov tahun lalu - mengumumkan bantuan 150,000 komputer riba kepada pelajar yang tidak bernasib baik.

Komputer berkenaan akan disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan menyasarkan keluarga B40 sebagai penerimanya.

Bagaimanapun setakat mana pelaksanaan bantuan itu masih selalui dibangkitkan pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Shamimi Syafiqah (kiri) dan adiknya Shamimi Anisah

Pelajar tingkatan tiga Shamimi Syafiqah Rosli, 15, pula berkata dia terpaksa berulang-alik ke kafe siber untuk menyiapkan kerja khusus bagi mata pelajaran Sains yang memerlukan komputer riba untuk menyiapkan tugasan.

Untuk ke situ katanya, dia akan bermotosikal dengan kakaknya sejauh kira-kira 8km. Di situ dia akan menyewa komputer secara purata dua jam sehari dengan kadar bayaran RM2 untuk setiap satu jam.

“Kalau semasa PdPR, saya akan ke kafe siber bagi menyiapkan tugasan untuk subjek yang memerlukan komputer riba bagi menyiapkan kerja sekolah," katanya.

Kumpul duit beli komputer

Sama seperti pasangan adik-beradik Anis Natasha dan Ammy Nazira, Shamimi turut berdepan masalah capaian internet yang lemah di rumah.

Justeru dia selalu keluar rumah untuk mendapatkan capaian yang lebih baik.

Kadang-kadang katanya dia terpaksa berkongsi telefon dengan adiknya kerana ibu mereka tidak mampu untuk menyediakan komputer riba atau telefon lain.

“Ibu tak mampu kerana perlu dia sajalah yang menyara kami sekeluarga sejak menjadi ibu tunggal," katanya.

Shamimi mengakui keadaan mungkin menjadi sedikit melegakan jika dia memiliki komputer riba sendiri dan tidak perlu bergilir-gilir menggunakan telefon genggam dengan adiknya.

"Saya juga mungkin tidak lagi perlu berulang-alik ke kafe siber untuk guna komputer di sana,” katanya.

Pelajar lepasan matrikulas pula, Anis Arini Asri, 20, juga menghadapi masalah sama. Dia tidak memiliki komputer riba yang sangat diperlukan untuk belajar, terutama semasa menyambung pengajian di peringkat ijazah nanti.

"Kalau sebelum ini bolehlah saya pinjam komputer riba kawan untuk siapkan tugasan di asrama tapi untuk ijazah mungkin saya akan belajar di rumah sahaja.

"Saya sangat perlukan komputer riba sekarang. Maka saya cuba kumpul duit untuk membelinya selepas ini,” katanya.

Anis Arini dan adiknya Alisha Ariana 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS