Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan terima bayaran RM336j, baki hutang 1MDB masih lebih RM40b
Diterbitkan:  Jun 3, 2021 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa kerajaan menerima bayaran sebanyak RM336 juta (AS $ 80 juta) daripada firma audit Deloitte PLT yang didepositikan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account).

MoF dalam satu kenyataan hari ini berkata wang yang dipindahkan merupakan dana yang disita dalam perkara berkaitan 1MDB.

"Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

"Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

"Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat," katanya.

Selain itu MoF berkata rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG.

"Setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

"Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC)," kata MoF.

Kenyataan itu menyebut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai berkata bahawa baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

"Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.”

"Setelah semua dana yang dipulihkan dalam Akaun Amanah telah digunakan, pemerintah masih harus terus menanggung beban membayar kewajiban hutang 1MDB, yang didukung oleh Jaminan dan Surat Sokongan pemerintah ketika hutang ini dibuat," jelasnya.

MoF berkata, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Ini katanya, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC, serta mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR).

"Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC," tambahnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS