Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kilang perabot diarah tutup, disyaki palsu maklumat kebenaran operasi
Diterbitkan:  Jun 2, 2021 10:45 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Sebuah kilang perabot di Balakong diarah tutup selepas dipercayai memalsukan maklumat dalam permohonan surat kebenaran untuk beroperasi semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mengarahkan premis itu ditutup selepas melakukan tinjauan hari ini, berkata kilang tersebut beroperasi menggunakan surat kebenaran yang dikeluarkan untuk barangan rumah.

“Pembuatan perabot ini juga kita tidak kira sebagai sektor perlu dan ia tidak dibenarkan kerana mempunyai jumlah pekerja ramai yang boleh menyebabkan penularan penyakit Covid-19," katanya sambil menambah kilang itu akan dikompaun sebanyak RM50,000 jika berdegil tidak mahu menutup premis tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di tiga kilang di Balakong termasuk kilang perabot itu bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Katanya pemeriksaan juga mendapati kilang itu beroperasi dengan bilangan sumber manusia yang besar iaitu 200 pekerja.

Hamzah turut meminta pemilik kilang dan syarikat supaya jujur ketika membuat pengisytiharan bagi memohon surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS