Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) telah menggantung jawatan anggotanya, Philip Among selaku penyelaras Parlimen Putatan, susulan dakwaan berlaku kasar dan gangguan seksual.
Setiausaha Agung Star Guandee Kohoi berkata, lembaga disiplin parti juga akan memutuskan sama ada untuk menggantung keahlian atau terus memecatnya.
"Tindakan ini menunjukkan kepimpinan sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan darpada semua pihak, terutama ahli-ahli parti.
"Oleh itu, semua ahli dan penyokong Star diminta bertenang dan bersabar menghadapi perkara ini dan tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata terdapat dua laporan polis dibuat terhadap Philip yang tular di media sosial.
Laporan pertama berhubung dakwaan Philip membuat perlakuan tidak senonoh terhadap seorang perseta Unduk Ngadau (pertandingan ratu cantik sempena Hari Kaamatan) dan laporan kedua berkenaan dakwaan perlauan kasar terhadap seorang pengawal kselamatan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), katanya.
Terdahulu hari ini, Malay Mail melaporkan seorang peserta Unduk Ngadau mendakwa diraba seorang ahli jawatankuasa penganjur.
Laporan itu tidak menamakan individu yang didakwa tetapi menyebutnya sebagai ahli politik.
Menurut laporan itu lagi, pengadu membuat laporan polis pada 21 Mei lalu.
Dia antara lain mendakwa individu itu memintanya bertemu di keretanya untuk pergi makan malam, selepas sesi bergambar pada 19 Mei.
Ketika dalam kereta, pengadu mendakwa individu itu meraba dan menyentuh bahagian badannya walaupun dia berulang kali cuba menghentikan perbuatan itu, sebelum di bawa ke pejabat lamanya dan terus diganggu.
Laman itu juga memetik Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali sebagai berkata, dia tidak dapat mengesahkan sama ada laporan polis yang tular itu sah atau tidak, tetapi siasatan akan dibuat jika ia sah.