Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sukar dapat kebenaran operasi, sektor F&B kecewa dengan Miti

Jika kedai makan kegemaran anda tutup hari ini, ada kemungkinan ia kerana mereka bergelut untuk mendapat kelulusan menerusi sistem Intelligent Management System (CIMS 3.0) kendalian Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Pada masa ini, semua perniagaan yang ingin beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh perlu mendapat kebenaran bertulis menerusi sistem tersebut.

Bagaimanapun, dua hari sebelum sekatan berkuat kuasa, terdapat kesukaran untuk mengakses laman webnya, dengan pesanan "Ralat 500" atau "503 Backend fetched failed".

Pemimpin persatuan restoran dan kedai makan menyuarakan kekecewaan mereka dengan CIMS 3.0.

Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata dia menugaskan dua pekerjanya untuk memohon kelulusan CIMS 3.0 sejak 31 Mei, dan hanya berjaya pada pukul enam pagi tadi.

"Kami bergelut selaam dua hari. Saya diberitahu yang kurang 100 daripada kira-kira 12,500 anggota kami berjaya memasukkan maklumat mereka.

"Mujurlah pihak berkuasa belum memulakan penguatkuasaan," katanya kepada Malaysiakini.

Jawahir berkata dia kini dengan cemas menunggu kelulusan CIMS 3.0, yang akan membolehkannya memiliki surat kebenaran dengan QR kod yang diperlukan para pekerjanya, untuk lepas sekatan jalan raya ketika pergi kerja.

Dia menggesa kerajaan mengecualikan kedai makan daripada kelulusan itu, berkata ia juga memudahkan Miti kerana dapat mengurangkan kesesakan pada laman webnya.

"Kami mahu ikut peraturan tetapi kerajaan juga perlu faham masalah yang kami hadapi. Kami menggesa mereka kurangkan kerenah birokrasi.

"Tiada keperluan untuk sektor makanan dan minuman (F&B) untuk memohon (kelulusan) kerana kami salah satu daripada 17 perkhidmatan penting," katanya.

Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Wong Teu Hoon pula berkata setakat pagi ini, dia tidak tahu jika ada mana-mana anggotanya yang telah berjaya mendapat kelulusan CIMS 3.0.

Dia menjangka lebih separuh daripada anggota persatuan itu membuat keputusan untuk tidak beroperasi sejak semalam, berbanding mengambil risiko dikenakan denda.

"Kami ada kira-kira 20,000 anggota di seluruh negara dengan lebih separuh daripadanya berusia lebih 60 tahun dan tidak mahir dengan internet. Saya sendiri dibantu anak untuk dapat kelulusan di dalam talian.

"Mengapa ini berlaku? Sebelum ini tidak timbul masalah kerana kami tidak perlu memohon kebenaran.

"Di lapangan, arahan yang diterima tidak jelas. Di Melaka, kami diberitahu oleh pihak berkuasa di sana yang kami boleh beroperasi seperti biasa tetapi anggota kami di negeri lain diberitahu mereka perlu kelulusan Miti," katanya lagi.

Terpaksa tutup

Wong yang juga presiden Persatuan Restoran dan Tukang Masak Koo Soo Malaysia berkata, dianggarkan 10,000 pengusaha restoran berdepan masalah serupa ketika memohon kelulusan di laman web Miti.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong pula memberitahu, berbeza dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, PKP terbaru ini membawa kerumitan tambahan memandangkan pengusaha makanan dan minuman juga perlu melalui sistem CIMS 3.0.

Chin berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Miti dan faham bahawa ia melibatkan proses pemeriksaan yang ketat.

Katanya, sebahagian anggota persatuannya yang termasuk dalam kategori perkhidmatan penting, terpaksa tidak beroperasi semalam kerana tidak mendapat kelulusan.

"Banyak yang tutup, terutama cawangan F&B, runcit atau restoran. Mereka kata 'tiada guna (buka)' kerana ia hari pertama (sekatan pergerakan penuh) dan ramai yang duduk di rumah," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS