Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur dalam kejadian pada minggu lalu.
Tertuduh, Nor Ikmal Arif Mohd Kassim,23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh 4 Julai bagi sebutan hukuman kesalahan itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun di sebuah bilik di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, kira-kira pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, pada 27 Mei lalu.
Tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd Faizuan memohon agar mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.
Namun tertuduh menyatakan merayu agar jaminan rendah ditawarkan kepadanya kerana membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Difahamkan, tertuduh bagaimanapun tidak membayar wang jaminan yang ditawarkan itu.