Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 pusat PPV tambahan akan dibuka di P Pinang bulan ini

Tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan akan beroperasi di Pulau Pinang bulan ini sebagai tambahan kepada lima PPV sedia ada.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tiga tapak yang dikenal pasti bersesuaian dijadikan PPV adalah di Tapak Pesta Pulau Pinang bagi Daerah Timur Laut, SPICE Arena bagi Daerah Barat Daya dan Tapak Ekspo Seberang Jaya bagi Daerah Seberang Perai Tengah.

"Terdapat tiga lagi penambahan PPV yang bakal beroperasi pada bulan Jun ini. Tempoh masa operasi PPV juga akan dilanjutkan dari Isnin sehingga hari Sabtu dengan jumlah suntikan sehari juga bakal ditingkatkan," katanya dalam kenyataan di George Town, semalam.

Beliau berkata Pulau Pinang akan menggerakkan seluruh jentera sama ada daripada sumber kerajaan ataupun swasta bagi membolehkan proses suntikan imunisasi diselesaikan pada Oktober 2021 sebagaimana pengumuman Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, lima dewan di Pulau Pinang telah dijadikan PPV iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang di Daerah Timur Laut; Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Millennium di Kepala Batas (Seberang Perai Utara), Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) dan Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (Seberang Perai Tengah).

Semalam, Chow turut mengumumkan sebanyak enam hospital swasta akan terlibat sama dalam proses vaksinasi membabitkan masyarakat umum bermula minggu kedua bulan ini.

Dalam kenyataan hari ini, Chow juga berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang hari ini turut memutuskan beberapa pendekatan bagi membendung penularan kluster di sektor-sektor perkilangan.

"Antara beberapa pendekatan yang telah diambil termasuk mewajibkan saringan Covid-19 kepada semua pekerja baharu, majikan perlu menangguh proses pengambilan pekerja baharu sekiranya terdapat kes positif aktif di kilang berkenaan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) cawangan Pulau Pinang perlu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pematuhan dan tindakan penutupan terhadap kilang-kilang sekiranya berlaku pengingkaran," katanya.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS