Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ digesa hantar trak vaksinasi ke Johor
Diterbitkan:  Jun 1, 2021 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Pakatan Harapan (PH) Johor mendesak menteri yang bertanggungjawab memantau program vaksinasi negara, Khairy Jamaluddin untuk menghantar trak vaksinasi bergerak ke Johor dan bukan hanya di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini, PH Johor berkata trak vaksinasi bergerak sangat diperlukan di kawasan luar bandar kerana ia akan membantu warga tua yang mempunyai masalah untuk bergerak.

Semalam, Khairy mendedahkan bahawa 30 trak vaksinasi, yang mampu memberikan 100 suntikan, akan dikerahkan di projek perumahan kerajaan di seluruh Kuala Lumpur dan tapak pembinaan dalam tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau "total lockdown" yang bermula hari ini.

Projek ujian ini dirancang untuk membantu mempercepat pelaksaan vaksinasi Covid-19.

Sementara itu, PH Johor menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan tempat ibadat sebagai pusat vaksinasi, dengan menyebut pengalaman di UK di mana masjid diklasifikasikan sebagai pusat vaksinasi.

Pada bulan Februari, Pusat Islam Al-Abbas di Balsall Heath di Midlands menjadi masjid pertama yang diluluskan sebagai pusat vaksinasi oleh NHS England.

PH Johor juga mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai pusat vaksinasi, seperti yang disarankan dalam pertemuan Adun Johor pada 27 Mei.

Setakat semalam, Johor menduduki tempat keempat dari segi kes kumulatif dan kelima dari segi korban Covid-19.

Dalam tempoh 23 Mei dan 29 Mei, kadar positif untuk ujian Covid-19 di negeri ini adalah 5.79 peratus - lebih rendah daripada purata negara 6.89 peratus tetapi masih lebih tinggi daripada ambang 5 peratus untuk ujian yang mencukupi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS