Hari pertama sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' menyaksikan kemasukan kenderaan ke sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan hari ini, jauh berkurangan berbanding hari-hari sebelumnya.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, pergerakan penduduk hanya tertumpu di sekitar pasar raya dan bank dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan manyaksikan suasana yang lengang.
Jalan-jalan utama ke bandar berkenaan itu juga didapati lengang dan pergerakan kenderaan orang awam dilihat terkawal.
Lebuh raya utama menghala Kota Bharu seperti jalan Jalan Kuala Krai - Kota Bharu, jalan Sultan Yahya Petra dan lebuh raya Pasir Hor - Ketereh juga menyaksikan pengurangan pergerakan kenderaan.
Seorang pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, berkata, kehadiran orang ramai ke bank hari ini menunjukkan penurunan yang ketara.
"Hari ini orang tak ramai seperti sebelum ini, suasana di bank terkawal dan tidak sesak," katanya ringkas ketika ditemui.
Seorang peniaga ikan, Mohd Yusman Kamaruddin, 42, berkata, orang ramai datang membeli barang keperluan juga berkurang berbanding hari biasa.
"Kebanyakan pengunjung yang datang ke pasar adalah penduduk yang tinggal di sekitar Kota Bharu untuk membeli barang keperluan asas.
"Ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu, pasar basah menjadi tumpuan utama memandangkan pada ketika itu kedai makan tidak dibenarkan beroperasi sekali gus menyebabkan masyarakat terpaksa mengambil inisiatif memasak sendiri di rumah.
"Sebaliknya sekarang kedai makan dibenarkan beroperasi dalam tempoh ditetapkan walaupun tidak boleh makan di kedai," katanya yang berniaga di Pasar Berek 12, Kota Bharu.
Sebagai rekod kerajaan melaksanakan PKP penuh bermula hari ini hingga 14 Jun susulan peningkatan kes hari Covid-19 hampir mencecah 10,000 kes.
Sementara itu seorang pekerja penyelenggaraan dikenali sebagai Mustafa, 40, berkata, perjalanannya ke lokasi bekerja hari ini tidak berdepan kesesakan.
"Saya nampak sebahagian besar masyarakat faham dan akur dengan undang-undang yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP penuh.
"Lagi pula ramai orang bekerja di rumah, jalan raya pun tak sibuk seperti biasa," jelasnya.
Sebagai rekod, semalam Kelantan mencatat 695 kes positif Covid-19 dengan 7,869 kes aktif dan menyaksi penularan kes yang tinggi sejak kebelakangan ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin pada Ahad lalu berkata, kes positif di Kelantan dijangka boleh mencecah 1,000 kes sehari mulai bulan depan, berikutan nisbah jangkitan wabak itu berbanding jumlah penduduk negeri ini yang sangat tinggi sekarang.