Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri, timbalan menteri tak ambil gaji 3 bulan
Diterbitkan:  May 31, 2021 9:45 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Dia berkata demikian ketika mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Plus bernilai RM40 billion yang disiarkan di kaca televisyen malam ini.

“Saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan menteri dan timbalan menteri dengan tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun 2021.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya.

Pada Mac tahun lepas, kira-kira seminggu selepas pelaksanaan PKP1.0, langkah sama turut diambil dengan pemotongan dua bulan gaji perdana menteri, menteri dan timbalan menteri untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Negara kini berada di bawah PKP3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu, kecuali di Sarawak (sejak 29 Mei), yang lebih longgar berbanding PKP1.0.

Bagaimanapun, dengan lonjakan kes yang semakin tinggi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) di seluruh negara selama 14 hari bermula tengah malam ini hingga 14 Jun - kecuali Sarawak yang tidak melaksanakannya.

Dalam sekatan pergerakan penuh, semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali sektor-sektor yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.

Pemerkasa Plus yang diumumkan Muhyiddin melibatkan nilai bantuan keseluruhan RM40 bilion, termasuk suntikan fiskal RM5 bilion.

Antara bantuan yang diumumkan ialah moratorium pinjaman untuk golongan B40, selain kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau peniaga kecil yang tidak dapat beroperasi dalam tempoh berkenaan.

Penerima Bantuan Prihatin Rakyat juga menikmati bantuan tambahan. 


--


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS