Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam mahu polis dedah rakaman CCTV lokap Ganapathy
Diterbitkan:  May 31, 2021 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Seorang peguam yang mewakili keluarga mendiang A Ganapathy mendesak polis mendedahkan rakaman CCTV di mana si mati ditahan, sebelum dia dimasukkan ke hospital.

Pada sidang media hari ini, peguam K Ganesh berkata rakaman CCTV itu boleh menunjukkan berapa kali Ganapathy dibawa untuk disoal siasat dan keadaannya selepas itu.

"(Rekod akan menunjukkan) sama ada polis mengikuti prosedur dan apakah (keadaan Ganapathy) menjadi bertambah buruk setiap kali dia dibawa keluar.

"Ia akan (menjawab persoalan) apakah dia meminta dibawa ke hospital tetapi tidak dilakukan (pihak polis).

"Sekiranya polis ingin membersihkan diri mereka, dedah rakaman itu dan saya tahu anda memilikinya. Rakaman tersebut akan dengan jelas menunjukkan kesakitan (Ganapathy) yang dialaminya dan keadaan kakinya yang tidak dirawat," katanya.

Ganapathy, 40, ditangkap pada 24 Februari lalu dan ditahan oleh polis selama 12 hari atas tuduhan merompak kilang dan menyebabkan kecederaan.

Dia meninggal dunia pada 18 April di Hospital Selayang. Doktor terpaksa memotong kaki kanannya untuk menyelamatkan Ganapathy yang menghidap diabetes.

Menurut polis, kematian Ganapathy berpunca daripada penyakit necrotizing fasciitis (penyakit pemakan daging) dan kesukaran bernafas. 

Polis berkata tiada bukti Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan.

Namun keluarganya mendakwa Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.

Sementara itu, Ganesh juga mendesak pihak polis mengesahkan atau menafikan apakah Ganapathy ditangkap kira-kira sebulan sebelum penahanannya pada 24 Februari oleh polis Shah Alam.

"Sekiranya memang dia ditangkap, kami juga ingin mengakses rakaman CCTV, pada hari penangkapannya, dan pada hari dia meninggalkan sel," kata Ganesh.

Ganesh berkata dia diberitahu mengenai penangkapan berasingan itu oleh seorang pemberi maklumat "dipercayai", yang mendakwa Ganapathy kehilangan gigi depan ketika berada dalam tahanan.

Ganesh mendakwa pihak polis sedar sepenuhnya bahawa Ganapathy mempunyai penyakit diabetes dan kematiannya boleh dielakkan jika dia diberi rawatan perubatan tepat pada waktunya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS