Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kota Bharu tawarkan parkir awam tanpa caj selama 2 minggu mulai esok

Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB - BRI) tidak akan mengenakan sebarang caj untuk ruang parkir yang disediakan di sekitar bandar itu selama dua minggu mulai esok.

Tawaran mengecualikan bayaran parkir kereta itu selaras dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang berkuat di seluruh negara kuasa esok.

Untuk rekod kerajaan melaksanakan sekata pergerakan penuh mulai tengah malam ini sehingga 14 Jun. Sepanjang pelaksanaan perintah itu orang ramai memang tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa alasan yang munasabah.

Sektor ekonomi dan sosial juga diarah tutup kecuali untuk sektor tertentu yang dianggap penting dan mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Langkah mengecualikan bayaran parkir itu disahkan syarikat pengendali kawasan Kota Bharu, Vista Summerose Sdn Bhd ketika dihubungi Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Pengurus cawangannya, Pauziah Ismail, berkata keputusan bagi inisiatif itu dibuat oleh pihak pengurusan MPKB-BRI.

"Perkara itu sahih, dan kami akur dengan keputusan MPKB-BRI tersebut.

"Sempena pelaksanaan PKP Penuh ini juga, semua kakitangan kami akan bekerja dari rumah," jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu poster berhubung pengecualian bayaran tempat letak kereta bagi kawasan MPKB-BRI bagi tarikh berkenaan.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya masyarakat susulan tiada pengumuman rasmi dibuat.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, ketika ditanya mengenai perkara itu menyatakan pihak belum menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

"Perkara itu mungkin sudah dibincangkan dan diputuskan PBT, tetapi setakat ini saya belum dimaklumkan," katanya ringkas ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Cubaan Malaysiakini mendapatkan ulasan pihak pengurusan PBT setakat ini belum berjaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS