Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir kerajaan dengan memohon kamus daripada pengguna maya kerana tidak faham maksud sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang diumumkan.
Mengepil pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bermula tengah malam 1 Jun hingga 14 Jun, dia menggariskan frasa “penutupan penuh” dan “total lockdown” dalam pengumuman berkenaan.
Dia meminta pengikut-pengikutnya membantu memeriksa maksud perkataan “penuh” dan “total” dalam pengumuman berkenaan.
“Sekejap, siapa ada kamus?
“Tolong periksa sekejap maksud ‘penuh’ dan ‘total; sebab saya kurang faham. Terima kasih,” sindirnya.
Hantaran sinis itu merupakan hantaran terbaru setelah ahli parlimen Pekan sebelum ini mempersoalkan mengenai banyaknya bilangan kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
“Media antarabangsa Reuters pun keliru kenapa bahagian besar sektor pengilangan dan pembuatan dibenar terus beroperasi dalam total lockdown Malaysia,” sindir Najib dalam hantaran sebelumnya.
Dia turut mengepil tangkap layar laporan Reuters yang melaporkan sektor pengeluaran banyak dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja dikurangkan, ketika sekatan pergerakan penuh.
Antara yang dikritik Najib ialah kebenaran pembukaan sektor elektrik dan elektronik yang menurutnya antara sektor terbesar negara.
Dengan pembukaan sektor itu, kata Najib, maka banyak lagi kilang pembekal serta sektor berkaitan seperti pengangkutan dan pelabuhan akant urut dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.
Sedangkan, katanya, jutaan rakyat biasa serta peniaga kecil perlu berkorban dalam tempoh sekatan pergerakan penuh, manakala kilang-kilang besar yang dimiliki oleh syarikat multinasional (MNC) dan syarikat besar pula dapat terus menjana keuntungan tanpa gangguan.
“Jika perlu berkorban, kita sama-sama berkorban. Bukan ramai yang berkorban sehingga terkorban manakala ada pula yang langsung tidak terkesan.
“Saya tak percaya syarikat MNC dan syarikat besar yang kaya ini akan bankrap, membuang pekerja atau akan pindah kilang ke negara lain jika tidak dibenar beroperasi untuk 14 hari sahaja.
“[...] PKP sudah dua kali separuh masak. Janganlah total lockdown juga menjadi tiga suku lockdown. 14 hari sahaja,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh, kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu.
Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu, melainkan perkhidmatan perlu mengikut sektor seperti pembuatan; pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi; pembinaan; dan perdagangan pengedaran.
Perkhidmatan elektrik dan elektronik tergolong dalam sektor pembuatan.