Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen: Operasi buru warga asing tanpa dokumen untuk lindung hak rakyat
Diterbitkan:  May 31, 2021 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud mempertahankan rancangan kerajaan untuk menjalankan operasi menahan warga asing tanpa dokumen semasa sekatan pergerakan penuh yang akan berkuat kuasa tengah malam nanti.

Menjawab kritikan terhadap rancangan itu, Khairul berkata operasi itu demi melindungi hak warga tempatan.

“Kami akan buru pendatang haram yang tinggal dan bekerja di negara tercinta ini tanpa sebarang dokumen, tidak membayar cukai dan levi, tetapi menikmati semua manfaatnya.

“Kami melindungi hak rakyat tempatan,” ciapnya di Twitter.

Dia menjawab ciapan pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman yang berkongsi artikel yang disiarkan Free Malaysia Today, yang antara lain meminta Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memikirkan nasib anak-anak dan keluarga golongan berkenaan.

Dalam sidang media kelmarin, Hamzah mengumumkan pihak berkuasa akan menjalankan operasi di di kawasan perairan dan laluan haram untuk menghentikan kemasukan warga asing baru yang tidak mempunyai dokumen, serta pemeriksaan di penempatan warga asing di seluruh negara.

“Manakala JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) kita telah berbincang, mesti melakukan beberapa operasi bersama JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kerana kita merasakan sudah setahun segala apa SOP, PKP, kita lakukan dari fasa pertama, berfasa-fasa, kalau masih ada orang yang degil, maksud saya warga-warga asing, kita akan tangkap, kita akan pastikan penjara-penjara bersedia,” Hamzah dilaporkan berkata.

Maklum berkenaan masalah kesesakan di penjara dan pusat tahanan ekoran operasi yang dibuat ketika PKP tahun lalu, Hamzah berkata kali ini pihaknya bersedia dengan penjara dan depot satelit bagi mengelakkan perkara itu.

Ia dilihat bertentangan dengan jaminan yang dibuat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Februai lalu, bahawa warga asing tanpa dokumen tidak akan ditangkap apabila mereka tampil untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu berkenaan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut menggesa Hamzah membatalkan rancangan operasi berkenaan, antaranya bagi mengelakkan pusat tahanan semakin sesak. Sebaliknya, ia mencadangkan program pengampunan kepada golongan itu.

"Hamzah berkata Jabatan Penjara sedia untuk memperuntukkan pusat tahanan tambahan tetapi menurut Suhakam, penjara Malaysia sudah sangat sesak, dan ia akan membuka risiko penularan Covid-19.

"Langkah menahan warga asing tanpa dokumen di penjara akan meningkatkan kes Covid-19 dan risiko untuk tahanan dijangkiti wabak ini adalah 5.5 kali ganda berbanding orang awam," dakwa anggota jawatankuasa pusat PSM, Sharan Raj hari ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS