Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petisyen tuntut caruman wajar KWSP penghantar makan dilancar
Diterbitkan:  May 31, 2021 3:30 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Pemuda Amanah melancarkan petisyen bagi menuntut agar pemandu e-kelui dan penghantar makanan turut diberikan caruman sewajarnya dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sama seperti pekerja lain.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata buat masa sekarang, pemandu e-hailing dan penghantar makanan tidak dianggap pekerja sah yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955, sebaliknya hanya sebagai kontraktor bebas.

“Mereka bukan sahaja berdepan dengan risiko di jalan raya, bahkan bekerja tanpa jaminan masa depan yang baik.

“[...] Jika suatu kemalangan terjadi semasa menghantar makanan, siapa yang akan memberi pampasan kepada mereka dan keluarga? Siapa pula yang akan menjamin kehidupan mereka pada hari tua? Kita melihat golongan ini tidak diberi pembelaan walaupun khidmat mereka sangat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan sekatan pergerakan penuh yang akan bermula tengah malam ini, Shazni menjangka bilangan penghantar makanan di syarikat seperti Grab, Foodpanda dan syarikat lain akan semakin ramai.

Shazni turut membuat perbandingan antara pemandu e-kelui dan penghantar makanan dengan pekerja lain.

Shazni Munir

Bermula Ogos 2018, KWSP dan Grab mewujudkan skim i-Persaraan, di mana pemandu membuat caruman secara sukarela dengan majikan menyumbang sebanyak lima peratus daripada jumlah itu untuk pemandu terpilih, sebagai tambahan insentif dari kerajaan.

Shazni berkata majikan biasa pula perlu menyumbang sebanyak 13 peratus daripada gaji bulanan pekerja tanpa had tahunan.

Dia menyifatkannya sebagai ketidakadilan, selain pekerja sah sepatutnya mendapat manfaat seperti cuti tahunan dan gaji untuk kerja lebih masa.

“Sepatutnya penghantar makanan dan pemandu e-kelui perlu diberi layanan yang sama seperti pekerja lain.

“[...] Negara lain seperti United Kingdom sudah pun melihat situasi ini dan mengarahkan syarikat e-kelui untuk melayan pemandu mereka seperti pekerja, dan bukan kontraktor bebas.

“... Syarikat penghantaran dan e-kelui perlu beri caruman perlindungan kepada pemandu dan penghantar makanan...setaraf dengan pekerja di sektor lain, dan menukar status mereka daripada kontraktor bebas kepada pekerja yang sah.

“Atas maksud dan tujuan tersebut, kami melancarkan petisyen agar nasib dan masa depan tunjang e-kelui ini terus terbela, sesuai dengan bertambahnya jumlah rakyat yang bekerja dalam bidang tersebut,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS