Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
17 dikompaun RM85,000 lepas ditangkap main snuker waktu PKP

Akibat degil bermain snuker dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 17 individu termasuk dua penjaga pusat snuker di Damansara Jaya, Petaling Jaya dikenakan kompaun sebanyak RM85,000 keseluruhan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menyerbu pusat berkenaan yang didapati beroperasi ketika PKP kira-kira 4 petang hasil risikan dan maklumat yang diterima.

“Setiap individu berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang dan kesemua individu berkenaan dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua penjaga premis berkenaan yang juga warga asing berusia 25 dan 27 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh merebakkan jangkitan penyakit berjangkit boleh membahayakan nyawa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan dua keping kad pekerja, sekeping resit perniagaan bertarikh 30 Mei 2021 dan pelbagai peralatan snuker.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tempatan ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam yang sedang melakukan tugas rondaan berhubung PKP kira-kira 3 petang semalam di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Fakhrudin berkata suspek berusia 23 tahun itu enggan memberi kerjasama serta tidak berpuas hati semasa pemeriksaan dilakukan oleh polis terhadapnya.

“Suspek telah melakukan provokasi dengan mempertikai tugas pihak polis apabila diminta menunjukkan kad pengenalan dan merakam kejadian tersebut serta mengugut untuk menularkannya di media sosial,” katanya.

Suspek berkenaan direman selama satu hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 156 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS