Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki ditahan polis kerana disyaki tembak kereta bekas isteri

Seorang lelaki ditahan polis pagi tadi selepas dia disyaki menembak kereta yang dipandu bekas isterinya dalam kejadian berpunca daripada perasaan cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata kira-kira jam 7.30 malam semalam, seorang wanita memandu kereta jenis Kia Rio bersama tiga anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun di Kampung Tapang, Kota Bharu.

Katanya wanita berusia 30-an itu dalam perjalanan pulang apabila menyedari keretanya diekori kenderaan bekas suaminya.

Tidak lama kemudian jelas Wan Khairuddin mangsa terdengar seakan bunyi tembakan diikuti cermin di bahagian kanan belakang kenderaannya pecah.

Katanya mangsa tidak nampak sebarang senjata yang digunakan.

"Bagaimanapun wanita itu dan tiga anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan polis dan unit forensik mengesahkan terdapat satu kesan berlubang dan retak pada cermin kereta mangsa," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Wan Khairuddin berkata buat masa ini polis tidak dapat mengesahkan kesan tersebut berpunca daripada senjata api atau alat berbahaya lain kerana orang awal di sekitar tempat kejadian tidak mendengar bunyi tembakan.

Pun begitu katanya siasatan lanjut akan dijalankan.

Susulan kejadian itu kata Wan Khairuddin polis menahan seorang lelaki juga berusia 30-an di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Katanya perintah reman akan dimohon terhadap suspek bagi menjalankan sisatan lanjut kejadian yang dipercayai akibat dorongan perasaan cemburu.

"Polis percaya kejadian bermotifkan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS