Speaker Parlimen Azhar Azizan Harun membidas pihak yang menggesa Dewan Rakyat bersidang, berkata para pengkritik kurang kefahaman mengenai konsep pembahagian kuasa seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Ramai pengkritik darurat, tempelak Azhar bersikap pilih bulu dalam mempertahankan perlembagaan demi meraih keuntungan politik.
“Kita tidak boleh bersikap memilih dengan hanya menerima apa sahaja yang menguntungkan kita namun bersikap keras apabila sesuatu tindakan tersebut tidak memenuhi kepentingan dan hasrat kita,” tulisnya di portal berita MalaysiaNow.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said sebelum ini, antara yang 'lantang' mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen, dengan menawarkan tiga cadangan termasuk kemungkinan mengadakan sidang secara maya.
Ahli parlimen Pengerang itu berkata kerajaan tidak boleh 'menyekat' proses demokrasi kerana ia hanya akan menafikan hak rakyat, ketika wakil mereka tidak terlibat dalam keputusan kerajaan.
Azhar pada tulisannya berhujah walaupun doktrin pemisahan kuasa antara ketiga institusi – kerajaan, parlimen dan badan kehakiman – tidak pernah dilaksanakan secara bulat-bulat di mana-mana negara, konsep pembahagian kuasa di antara ketiga-tiga institusi itu adalah prinsip undang-undang yang mesti dilaksanakan.
“Kerana itulah mahkamah tidak melayan pertanyaan mengenai keabsahan persidangan Dewan Rakyat. Dengan kata lain, dalam situasi ini, mahkamah tidak memiliki sumber undang-undang untuk melakukannya.
"Sekiranya mahkamah mempunyai pendirian bertentangan dengan penetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas itu, seraya memutuskan perihal keabsahan sebarang persidangan Dewan Rakyat, ia dianggap melanggar undang-undang.
"Hal ini kerana, mahkamah tidak mempunyai sumber undang-undang untuk melakukannya.”
Azhar mengatakan suatu hal biasa bagi ketiga-tiga institusi pentadbiran tersebut untuk saling bersilang.
Bekas pengerusi SPR yang dilantik menjadi speaker parlimen susulan Langkah Sheraton itu juga berkata, hujah bahawa kerajaan tidak berhak menghentikan prosiding parlimen harus diperdebatkan berdasarkan peruntukan perlembagaan.
“Darurat dan ordinan yang diumumkan setakat ini adalah tindakan yang diambil berdasarkan sumber undang-undang spesifik, iaitu di bawah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” tulisnya.
“Ia disahkan oleh prinsip undang-undang dan boleh dikuatkuasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti kuasa mahkamah yang boleh membatalkan beberapa tindakan oleh eksekutif.
“Sama ada kita suka atau tidak, itu adalah kuasa kabinet atau eksekutif dan kuasa itu digunakan.”
Sebelum ini, veteran DAP Lim Kit Siang malah menyatakan rasa kagum terhadap gesaan timbalan speaker Dewan Rakyat itu.
Pada satu kenyataan, Lim bersetuju dengan cadangan Azalina, termasuklah kaedah mengelakkan "undi tidak percaya" serta berbagai pendekatan dwiparti pemerintah dan pembangkang untuk mengendalikan wabak Covid-19.
Katanya, Azhar telah “gagal mempertahankan hak, kuasa, dan kedudukan parlimen” yang termaktub dalam perlembagaan.
“Yang Di Pertua Dewan Rakyat sepatutnya menunjukkan kepimpinan dalam mempertahankan hak, kuasa, dan keistimewaan parlimen daripada dihakis oleh pihak eksekutif memandangkan perlembagaan kita didasarkan kepada doktrin pemisahan kuasa - tidak ada mana-mana cabang kerajaan boleh mengganggu atau menghakis kuasa dan hak-hak cabang kerajaan yang lain,” katanya.
Gesaan Azalina antaranya mendapat sokongan pemimpin Umno, Pejuang dan Muda.