Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH desak pelan awal pendidikan pasca 'total lockdown', bantuan tunai pada guru
Diterbitkan:  May 30, 2021 11:54 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengambil langkah awal pelan persekolahan pascasekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Pengerusinya Dr Maszlee Malik berkata sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu sudah tamat dan cuti sekolah selama dua minggu akan bermula.

Susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 hingga 14 Jun katanya, Jawatankuasa Pendidikan PH mendesak empat perkara utama yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan.

"KPM perlu menyatakan pelan persekolahan pascasekatan pergerakan secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid agar dapat membuat persiapan awal semenjak cuti persekolahan lagi.

"KPM juga perlu mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru-guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan pergerakan penuh (Total lockdown) dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021 susulan peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu Maszle berkata sepanjang sesi PdPR yang terkini, banyak masalah lama masih belum selesai.

Antara lain katanya guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan tiada peranti, capaian internet lemah, suasana pembelajaran tidak kondusif, sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan PdPR dan pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif.

"Hal yang sama dihadapi oleh murid-murid yang mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan sehingga kini belum lagi diterima murid-murid dari keluarga B40," katanya yang juga bekas menteri pendidikan.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu katanya, Jawatankuasa Pendidikan PH juga mendesak agar kerajaan memberikan insentif ‘one-off’ kepada guru yang telah dan akan menggunakan wang sendiri sepanjang total lockdown untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

"KPM juga perlu menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40.

"Perlu diingat kegagalan kerajaan persekutuan terutamanya menteri pendidikan dan dua timbalannya di dalam memberikan respon proaktif seperti yang diperlukan rakyat akan memberi kesan buruk mendalam kepada lebih lima juta orang pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada dekad-dekad akan datang," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS