Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak mustahil AG dari kalangan bukan Melayu, terpulang pada pemimpin'
Diterbitkan:  May 29, 2021 9:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Tommy Thomas, individu bukan Melayu pertama yang dilantik menjadi peguam negara di negara ini yakin bahawa Malaysia dapat melihat lebih banyak pelantikan seperti itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Thomas dalam wawancara bersama Astro Awani malam semalam berkata ia bergantung kepada pemimpin politik untuk menjadikan ia realiti.

"Untuk menjawab soalan anda, ya, tidak ada sebab mengapa seorang Perdana Menteri hari ini tidak boleh berkata 'Saya mahu memilih (pemimpin) yang terbaik dan paling bijak dan jika ia bermakna pasukan dalam kabinet saya terdiri daripada 10 orang Cina, lima India, lima dari Sabah Sarawak’.

"Tiada apa yang akan berubah. Matahari akan terus bersinar, burung akan terus berkicauan, dan Malaysia adalah negara yang stabil.

“Ia benar-benar terserah kepada pemimpin, pemimpin politik untuk memimpin,” katanya.

Dia memberi contoh sewaktu kepimpinan Mahathir Mohamad sebelum ini yang mengekalkan jawatannya ketika itu selama 20 bulan walau apa pun terjadi.

Dia berkata demikian ketika ditemu bual oleh pengacara program Consider This, Melissa Idris dan Sharaad Kuttan.

Thomas dilantik sebagai peguam negara pada tahun 2018 oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, yang dipimpin oleh Mahathir.

Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap gabungan parti kerajaan itu dan Mahathir, terutama dari kalangan kumpulan yang percaya bahawa jawatan penting sedemikian harus diberikan kepada Melayu-Islam.

Tempoh perkhidmatan Thomas tidak kekal lama apabila PH tumbang berikutan rampasan kuasa pada Februari 2020, yang menyaksikan Mahathir mengundurkan diri sebagai perdana menteri untuk kali kedua. Ia sekaligus menyebabkan Thomas melakukan perkara yang sama.

Menurut Thomas, tiada salahnya jika orang ramai mengkritik sesuatu pelantikan, termasuk mereka yang memilih untuk melihat isu dari perspektif bangsa dan agama.

"Saya rasa adil jika orang mengkritik pelantikan. Itulah demokrasi, terutama demokrasi secara dalam talian. Anda perlu hormatinya.

"Tidak ada masalah dengan kritikan secara dalam talian. Dan jika segmen tersebut mahu menumpukan kepada bangsa atau agama terhadap sesuatu karakter, keperibadian, atau isu dari perspektif tersebut, terserah… Anda tidak boleh nak ajar semua orang di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi pandemik di Malaysia, Thomas mempersoalkan proses program imunisasi Covid-19 yang dikendalikan kerajaan, terutama proses pemerolehan vaksin.

Thomas berkata jika dia masih memegang jawatannya, dia akan mula mendapatkan kontrak untuk memperolehi vaksin lebih awal sehingga Malaysia akan menjadi yang pertama dalam senarai.

“Sudah 'common sense' bahawa vaksin merupakan jalan penyelesaian (kepada situasi pandemik). Oleh itu, anda mesti memberi saya kebenaran sebagai peguam untuk kerajaan dan kepada beberapa yang lain, untuk pergi dan mula mengadakan kontrak dengan semua syarikat di dunia ini untuk mendapatkan vaksin,” katanya.

Katanya, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel merupakan tiga contoh di mana vaksin membantu menyelesaikan masalah pandemik di negara tersebut.

“Kita tersasar jauh (dari segi pemerolehan) vaksin,” katanya.

Bagaimanapun, Thomas berkata bahawa dia tidak berminat untuk kembali menjadi peguam negara.

"Saya rasa sejarah menunjukkan bahawa mereka yang kembali memegang jawatan apa pun, selalu mempunyai rekod buruk pada kali keduanya.

"Tetapi saya percaya jika ada kerajaan dengan berfikiran reformasi, saya dengan senang hati untuk membantu dengan cara yang berbeza,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS