Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar penyakit berjangkit persoal keberkesanan sanitasi awam
Diterbitkan:  May 29, 2021 9:38 PM
Dikemaskini: May 30, 2021 1:07 PM

Nota editor: Artikel ini dikemaskini dengan menaikkan kenyataan oleh Profesor Adeeba. Tajuk juga telah diubah berdasarkannya.

Pakar penyakit berjangkit mempersoalkan langkah sanitasi awam berskala besar yang akan dijalankan selama dua hari bermula hari ini di 284 lokasi di seluruh negara, susulan peningkatan kes baru Covid-19 mutakhir ini.

Dr Adeeba Kamarulzaman, yang juga anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menggambarkan bahawa operasi sanitasi awam adalah pembaziran sumber daya yang terhad.

"Terdapat sumber yang boleh disalurkan dengan lebih baik di tempat lain," katanya di Twitter.

Katanya, antara perkara yang lebih perlu menjadi keutamaan adalah peralatan perlindungan peribadi (PPE), alat bantuan pernafasan dan makanan untuk para sukarelawan.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengatakan, proses pembasmian kuman berskala besar akan dilakukan selama dua hari bermula hari ini di 284 lokasi di seluruh negara, berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Katanya operasi yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menumpukan kepada Selangor yang terus mencatat jumlah kes harian baru yang paling tinggi.

Bernama melaporkan Zuraida sebagai berkata bahawa 25,252 operasi sanitasi telah dilaksanakan di 156 zon sejak Mac tahun lalu, di antaranya 120 adalah zon merah, zon jingga (14), zon kuning (15) dan tujuh zon hijau, yang dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

Pada bulan lalu, Astro Awani memetik pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman yang mengatakan bahawa sanitasi hanya perlu dilakukan berdasarkan penilaian risiko di suatu kawasan.

"Dari segi kesihatan awam, kita tidak perlu buat rutin sanitasi awam.

"Sanitasi tempat awam secara berkala tanpa kes yang dilaporkan juga tidak disyorkan kerana kegiatan itu tiada bukti saintifik," katanya seperti dipetik.

Tambah Malina, meski di premis atau kawasan dengan yang melaporkan kes, sanitasi hanya disyorkan untuk kawasan tertentu, misalnya kawasan kerja bersama atau bilik mandi awam

"Tidak perlu sanitasi satu bangunan atau laluan ke pejabat tersebut,” katanya.

Laporan itu juga memetik panduan terkini dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika mengenai proses pembasmian kuman dan pembersihan, dengan mengambil kira bukti saintifik yang menunjukkan risiko rendah jangkitan Covid-19 melalui kontak permukaan.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan rekod baru 9,020 kes harian dan 98 kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS