Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN: Pihak berkuasa bersiap tahan warga asing sepanjang ‘total lockdown’

Pihak berkuasa bersedia untuk membuat lebih banyak penahanan terhadap mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perintah kawalan pergerakan secara menyeluruh atau ‘total lockdown’ selama dua minggu bermula 1 Jun, menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Hamzah berkata ini termasuk penahanan di kawasan perairan dan laluan haram untuk menghentikan kemasukan warga asing baru yang tidak mempunyai dokumen, serta pemeriksaan bersama di penempatan warga asing di seluruh negara.

“Segala pematuhan SOP perlu diperketatkan terutama laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing.

“Manakala JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) kita telah berbincang, mesti melakukan beberapa operasi bersama JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kerana kita merasakan sudah setahun segala apa SOP, PKP, kita lakukan dari fasa pertama, berfasa-fasa, kalau masih ada orang yang degil, maksud saya warga-warga asing, kita akan tangkap, kita akan pastikan penjara-penjara bersedia,” kata Hamzah dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Hamzah berkata bahawa tindakan awal yang dilancarkan terhadap warga asing tanpa dokumen ketika PKP pertama pada Mac tahun telah menyebabkan kesesakan di penjara dan depot tahanan.

“Tapi kali ini kita telah bersedia kita ada penjara satelit, supaya bila mereka nanti ditangkap boleh ada kawasan penjara yang kita masukkan.

“Begitu juga depot satelit yang kita berikan pada JIM,” katanya.

Secara keseluruhannya, Hamzah berkata 55,000 anggota polis akan ditugaskan sepanjang ‘total lockdown’ selama dua minggu itu, iaitu peningkatan dari 37,000 kakitangan sedia ada di seluruh negara.

Di samping itu, dia berkata KDN juga telah mengerahkan 15,000 lagi kakitangan dari agensi penguatkuasaan lain di bawah penyeliaan kementerian itu.

Jauhkan warga asing dari divaksin

Ketika dihubungi, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata sebarang operasi yang disasarkan terhadap warga asing tanpa dokumen semasa tempoh 'lockdown', ia akan menjejaskan program vaksinasi yang sedang berjalan.

Dia berkata terdapat warga asing tanpa dokumen yang sedang menjalani program rekalibrasi untuk mengesahkan status mereka, dan tidak ada individu yang sepatutnya menjelaskan mengenai bagaimana mereka harus mendapat vaksin.

“Sebarang tindakan keras akan menjauhkan mereka jauh dari divaksin,” kata Pereira.

Pereira juga berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menumpukan pemberian vaksin kepada golongan migran dengan penglibatan petugas kesihatan, dan bukannya memaksa mereka bersembunyi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Malaysia akan memulakan tiga fasa 'total lockdown' secara berperingkat bermula 1 Jun, dengan hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang dibenarkan untuk beroperasi.

Ia berikutan kes harian jangkitan Covid-19 yang kian memuncak, iaitu hari mencatatkan lebih 9,000 jangkitan baru. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS