Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Salah faham' CITF, Selangkah: MB Selangor akan jumpa Khairy
Diterbitkan:  May 29, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka mengadakan pertemuan dengan ketua Badan bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan badan itu terhadap satu inisiatif kerajaan Selangor.

Semalam, CITF mendakwa sistem SELangkah Selangor sebagai punca masalah teknikal dalam sistem pendaftaran dalam talian untuk vaksin AstraZeneca pada 26 Mei lalu, yang mengundang kritikan hebat.

SELangkah menafikan dakwaan itu.

Hari ini, Amirudin berkata telah timbul "salah faham" dan akan bertemu dengan Khairy esok berhubung perkara itu.

"Saya baru berkomunikasi dengan Khairy tentang kenyataan CITF dan SELangkah. Terdapat salah faham dalam kenyataan semalam.

"Esok dia undang saya untuk bertemu bagi selaraskan gerak kerja yang lebih padu. Benda boleh bincang kenapa nak 'perang' di media," katanya di Twitter hari ini.

Khairy adalah menteri yang memantau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

CITF vs SELangkah

CITF dikritik hebat ekoran pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Ketika itu, ramai yang mengadu tidak dapat melengkapkan pendaftaran mereka walaupun telah mencuba beberapa kali, menggunakan peranti berbeza.

Ada juga yang menerima makluman temu janji walaupun tidak melengkapkan pendaftaran. Sejumlah yang lain menerima temu janji walaupun tidak membuat pendaftaran langsung.

CITF kemudian mendakwa siasatan awal mendapat SELangkah antara yang bertanggungjawab menyebabkan perkara itu kerana membuat pendaftaran secara pukal bagi pihak orang lain, tanpa persetujuan mereka.

"Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.

"Pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.

"Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai," kata CITF dalam kenyataan semalam.

ImuniSel adalah program temu seru vaksin oleh kerajaan Selangor bagi membantu penduduk negeri itu, terutama yang memiliki kemahiran dan akses teknologi yang terhad, mendaftar untuk Pick.

CEO SELangkah Tengku Iesta Tengku Alaudin kemudian berkata pihaknya tidak membuat sebarang pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca pada 26 Mei.

"Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti didakwa.

"Pihak Selangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menegluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS