Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara Asean gesa buang embargo senjata dalam draf resolusi PBB pada Myanmar

GLOBAL | Sembilan negara Asia Tenggara mengusulkan agar satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB terhadap Myanmar dilunakkan, termasuk dengan membuang gesaan embargo senjata ke atas negara itu.

Usul itu dibuat agar resolusi itu meraih sokongan sebulat suara 193 negara anggota PBB.

Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam menulis kepada Liechtenstein, yang merangka resolusi berkenaan, setelah undian yang dirancang dibuat minggu lalu ditangguhkan pada saat akhir.

Pada surat bertarikh 19 Mei dan dilihat oleh Reuters pada Jumaat, negara-negara berkenaan berkata draf berkenaan “tidak dapat meraih sokongan seluas mungkin dalam keadaannya sekarang, terutama daripada semua negara yang terkesan secara langsung di rantau ini”.

Negara-negara itu juga berkata rundingan lanjut diperlukan “bagi memastikan teks (draf) dapat diterima, terutama untuk negara-negara yang paling terkesan secara langsung dan mereka yang kini terlibat dalam usaha untuk menyelesaikan situasi berkenaan”.

"Kami juga berpandangan untuk resolusi Perhimpunan Agung berkenaan situasi di Myanmar berguna kepada negara-negara di Asean, maka ia perlu dibuat secara konsensus," kata negara-negara itu.

Surat itu adalah daripada semua negara anggota Asean, kecuali Myanmar.

Bahagian yang mahu dibuang dalam draf resolusi itu adalah berkenaan gesaan “satu penggantungan segera terhadap bekalan, jualan atau pemindahan semua senjata api” kepada Myanmar.

Resolusi Perhimpunan Agung PBB tidak mengikat secara perundangan, tetapi ia membawa kesan politik. Tidak seperti Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai 15 ahli negara, tiada negara mempunyai kuasa veto dalam Perhimpunan Agung.

Myanmar terpalit dengan krisis sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Feb dan menahannya bersama pegawai-pegawai daripada parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Meskipun negara-negara terbabit mahu draf resolusi PBB itu menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan tersebut, namun berbanding mengecam, teks itu nanti akan menggesa agar mereka yang ditahan dibebaskan segera dan tanpa syarat.

Ketika ditanya berkenaan hal itu, seorang jurucakap Asean tidak mahu memberikan sebarang ulasan.

Asean sedang mengetuai usaha diplomasi bagi menghentikan pertumpahan darah di Myanmar dan menggalakkan dialog antara pihak junta dan seterunya.

Terdahulu bulan ini, lebih 200 kumpulan masyarakat sivil, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengenakan embargo senjata ke atas Myanmar.

Hanya Majlis Keselamatan PBB yang boleh mengenakan sekatan yang mengikat secara undang-undang, tetapi para diplomat berkata Rusia dan Myanmar berkemungkinan boleh menggunakan kuasa veto mereka bagi mengelak tindakan seumpama itu dikenakan ke atas Myanmar.

-Reuters

[Baca laporan asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS