Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Sarawak tak berhasrat buat 'total lockdown'
Diterbitkan:  May 29, 2021 10:56 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Sarawak dilaporkan tidak akan melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial - atau 'total lockdown' - seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan, yang dijadual berkuat kuasa selasa ini.

Sebelum ini, Sarawak turut tidak mengikut kerajaan persekutuan yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, sebaliknya kekal dengan PKP pemulihan (PKPP) yang lebih longgar.

Kerajaan negeri itu hanya bersetuju untuk melaksanakan PKP 3.0 bermula hari ini, meskipun ia sudah pun dilaksanakan di negeri-negeri lain sejak 12 Mei.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tiada penutupan penuh terhadap sektor ekonomi dan sosial di negeri itu.

Katanya, setakat petang semalam, tiada ketetapan baru dibincangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkenaan perkara itu.

“Kita berbeza dengan Semenanjung. Kita tidak boleh tutup sektor ekonomi," katanya seperti dipetik Astro Awani semalam.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP penuh atau total lockdown seperti PKP pertama tahun lalu, dengan hampir semua sektor ekonomi dan sosial ditutup.

Langkah itu diambil meskipun Muhyiddin pada minggu lalu menegaskan langkah seperti PKP tahun lalu tidak boleh dilaksanakan kerana akan memberikan kesan besar terhadap ekonomi.

PKP penuh itu dijangka dikuatkuasakan selama 14 hari.

Muhyiddin berkata langkah wajar perlu diambil bagi mengelakkan sistem kesihatan awam runtuh, setelah kes jangkitan baru seluruh negara mencatat rekod tertinggi semalam, dengan 8,290 kes.

Sarawak mencatatkan 698 jangkitan baru semalam, iaitu kelima tertinggi antara negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS