Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO tuntut inkues siasat kematian lelaki ketika dalam tahanan
Diterbitkan:  May 29, 2021 10:33 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) menggesa satu inkues oleh Mahkamah Koroner diadakan bagi menyiasat kematian Surendran Shanker, yang dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan kelmarin.

“Edict berasa kecewa dengan kekerapan berlakunya kes kematian dalam tahanan yang dilihat seolah-olah tidak diambil peduli oleh kerajaan.

“Edict menggesa agar satu siasatan inkues dilakukan segera oleh Mahkamah Koroner bagi mencari punca dan penyebab kematian lelaki ini.

“Mahkamah Koroner adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan seperti yang dinyatakan di dalam Kanun Tatacara Jenayah, seksyen 334 serta Arahan Amalan No 2 Tahun 2019,” kata NGO itu dalam kenyataan semalam.

Edict berharap ahli keluarga Surendran tampil untuk menuntut keadilan atas kematian mendiang, dan menyatakan kesediaan untuk membantu keluarga itu dalam aspek guaman jika diperlukan.

Edict turut menggesa kerajaan - khususnya Menteri Dalam Negeri - untuk mengambil langkah segera bagi menghentikan perkara itu.

“Kebajikan para tahanan sering terabai ketika berada di dalam penjara, pusat tahanan imigresen serta lokap.

“Justeru kerajaan harus meningkatkan taraf fasiliti dan kondisi penjara serta lokap serta pusat tahanan imigresen agar sesuai untuk menempatkan para tahanan,” kata NGO itu lagi.

NGO itu juga menggesa latihan diberikan agar anggota penguatkuasa mengendalikan tahanan dengan lebih baik untuk jangka masa panjang.

Sebelum ini Free Malaysia Today melaporkan Surendran meninggal dunia pada awal pagi 27 Mei setelah dimasukkan ke Hospital Kluang pada Selasa (25 Mei) kerana mengadu "sakit teruk di perutnya".

Pemuda 21 tahun itu ditahan atas tuduhan dadah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca), undang-undang yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

Menurut laporan FMT yang memetik laporan polis oleh pegawai penjara, seorang doktor di Hospital Kluang memaklumkan pegawai penjara itu bahawa Surendran meninggal dunia akibat “kejutan septik dengan pelbagai kegagalan organ”.

Ibu mendiang Kumatameri Asirvatham bagaimanapun dilaporkan mendakwa Surendran tidak mempunyai masalah kesihatan dan keluarga mendiang mengesyaki ada perbuatan khianat dalam kematiannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS