Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan doktor gesa mudahkan proses vaksinasi melalui klinik
Diterbitkan:  May 28, 2021 7:46 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) menggesa kerajaan mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 dengan mempermudah proses mendapatkan vaksin.

Presidennya, Dr Steven KW Chow berkata pemberian vaksin boleh dilakukan menerusi doktor swasta dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara, berbanding tumpuan yang diberikan ketika ini kepada pusat pemberian vaksin (PPV).

Katanya, pemberian vaksin juga tidak perlu melalui sistem pengkomputeran yang 'canggih' namun tidak berfungsi dengan baik sehingga menyukarkan pemberian vaksin.

"Kita tak perlukan aplikasi yang 'tidak bercakap'. Kita mahukan orang ramai pergi berjumpa doktor dan melakukan suntikan serta merta.

"United Kingdom atau Amerika Syarikat tak guna sistem berkomputer. Perkhidmatan Kesihatan Nasional (UK) menyerahkannya kepada semua doktor swasta mereka. Mereka (penerima vaksin) hanya diberikan kad selepas vaksin dan mereka berjaya.

"Kita tak perlukan sistem 'canggih' yang tidak berfungsi. Teknologi sepatutnya membantu dan bukan menjadi penghalang," katanya.

Tambahnya, 7,000 doktor swasta dan ribuan klinik kesihatan kerajaan boleh dengan mudah memberikan vaksin kepada pesakit setiap hari dalam waktu yang sangat singkat.

"Apa yang harus dilakukan kerajaan adalah menyerahkan vaksin secara cekap kepada mereka semua. Ini boleh dilakukan oleh pengedar farmasi yang ada, yang mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk melakukannya, ”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chow berkata para doktor menerima aduan daripada pesakit warga emas di mana mereka diminta datang ke PPV yang jauh dari rumah dan memerlukan berjam-jam perjalanan.

Katanya, kesesakan di PVV dan waktu menunggu lama untuk mendapatkan vaksin juga boleh menyebabkan penyebaran Covid-19 yang lebih besar.

"Ini tidak adil, tidak betul dan tidak menjimatkan kos. Ini adalah petanda sistem yang pincang.

"Pesakit harus dibenarkan berjumpa doktor terdekat dengan rumah mereka, dinilai, divaksin dan kemudian maklumat tersebut segera dikemas kini dalam MySejahtera mereka. Ia semudah itu.

"Kami gesa kerajaan segera melakukan hal-hal yang perlu kerana sudah terlambat," katanya.

Chow berkata vaksinasi besar-besaran terhadap golongan rentan adalah mustahak dilakukan dalam waktu sesingkat mungkin.

Tambah Chow, Malaysia kemungkinan menghadapi puluhan ribu jangkitan Covid-19 setiap hari meskipun tiada data rasmi dikeluarkan.

"Ini adalah fakta yang diterima bahawa untuk setiap kes yang disahkan, akan ada tiga hingga 10 kes yang tidak dapat dikesan dalam masyarakat.

"Jadi mari kita hadapi. Kita berurusan dengan puluhan ribu jangkitan baru setiap hari, ”katanya.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan lebih daripada 7,000 kes Covid-19 sepanjang  tiga hari lalu.

Hari ini sebanyak 8,290 kes dilaporkan iaitu pertama kali angka positif Covid-19 melebihi 8,000 kes.

Pada masa ini, sekitar enam peratus daripada ujian Covid-19 di negara ini menunjukkan keputusan positif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS