Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan wang tunai RM1.1 bilion - sebahagiannya akan diberikan setiap bulan hingga akhir tahun
Perkembangan ini hadir ketika penggal kerajaan negeri yang hampir berakhir - dengan pilihan raya dijangka diadakan selepas darurat ditamatkan pada bulan Ogos.
Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan Sarawak akan dibubarkan pada bulan Jun, tetapi Yang diPertuan Agong telah menasihati kerajaan negeri untuk mengekalkan DUN memandangkan pengisytiharan darurat.
Di bawah darurat, pilihan raya dan sidang DUN ditangguhkan.
Pengumuman pakej rangsangan itu hadir bersama pengumuman bahawa vaksinasi Covid-19 di Sarawak akan dipercepat untuk memastikan bahawa pilihan raya dapat dilakukan dengan selamat setelah darurat ditamatkan.
Dalam ucapannya hari ini, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan bahawa setiap ketua keluarga B40 akan menerima RM250 sebulan dari 31 Julai hingga 31 Disember.
Bujang B40 akan mendapat bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 yang dijadualkan pada 31 Ogos.
Ini akan menelan belanja keseluruhan RM970 juta, dan akan memanfaatkan 1 juta ketua isi rumah dan orang bujang.
Sementara itu, terdapat juga elaun khas bulanan untuk barisan hadapan termasuk RM300 untuk pegawai perubatan, dan RM200 untuk pasukan keselamatan.
Ini akan menelan belanja keseluruhan negeri sebanyak RM27 juta.
Pengamal media di barisan hadapan di Sarawak juga akan menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM1,500. RM900,000 telah diperuntukkan untuk tujuan ini.
Peniaga kecil juga akan menerima RM1,500 - dibahagi kepada dua bahagian (Julai dan Disember). Ini melibatkan peruntukan RM97.5 juta.
Terdapat juga pelbagai bentuk bantuan tunai untuk pengusaha kapal feri kecil (penambang), teksi, pemandu e-hailing, tenaga pengajar sekolah memandu, pengendali bas sekolah atau van, pengendali van penumpang, pemandu pelancong, agensi pelancongan dan pengendali inap desa berjumlah RM 5.53 juta.
[Laporan penuh menyusul]