Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Buat kali pertama kali sejak pandemik COVID-19 menular di negara ini pada Januari tahun lepas, jumlah kes baharu harian mencapai angka 8,000 hari ini dengan 8,290 kes dilaporkan.

Berdasarkan hantaran Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kini sebanyak 549,514 kes.

Selangor kekal menjadi negeri yang menyumbang kepada kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,052 kes tetapi Kelantan menunjukkan peningkatan mendadak dengan 851 kes, seterusnya Kuala Lumpur (830), Johor (762), Sarawak (698) dan Kedah (544).

Negeri Sembilan merekodkan 520 kes, Pulau Pinang (421), Perak (405), Melaka (380), Sabah (308), Pahang (254), Terengganu (207), Putrajaya (44), Perlis (8) dan enam kes di Labuan.

Sementara itu, dalam kenyataannya Dr Noor Hisham berkata sebanyak 61 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah terkumpul 2,552 kes.

Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu 19 kes diikuti Negeri Sembilan (8), Kuala Lumpur (6), Kedah (5), Johor dan Sarawak (masing-masing 4 kes), Perak dan Melaka (masing-masing 3 kes), Pulau Pinang, Kelantan, Labuan dan Terengganu (masing-masing 2 kes), serta satu kes di Sabah.

Sebanyak 4,814 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama menjadikan jumlah kumulatif 474,139, manakala kes aktif setakat ini berjumlah 72,823 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, 808 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 403 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata sebanyak 21 kluster baharu dikesan membabitkan masing-masing enam kluster tempat kerja dan komuniti, empat kluster keagamaan, dua kluster pendidikan lain serta masing-masing satu kluster pendidikan tinggi, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Kluster tempat kerja melibatkan kluster Jalan Satu Olak dan Perusahaan Satu Batu Caves di Selangor; Kemumin (Kelantan); Tapak Bina Wangsa Perdana (Kuala Lumpur); Jalan Hospital Tampoi (Johor) dan Perusahaan Valdor (Pulau Pinang).

Kluster komuniti pula ialah Persiaran Sepang Sebelas (Selangor); Kampung Chekok dan Kampung Teliar (Kelantan); Dah Emas Suria (Kedah); Jalan Padi (Negeri Sembilan) serta Tanjung Kepah (Perak).

Empat kluster keagamaan melibatkan kluster Kampung Chubadak dan Seksyen Dua di Kuala Lumpur; Jalan Kampung Bukit (Pulau Pinang) dan Jalan Seroja Kepis (Negeri Sembilan).

Bagi kluster pendidikan lain membabitkan Sri Gombak Lapan (Selangor) serta kluster Dah Pinang (Kedah); kluster pendidikan tinggi iaitu Bukit Ilmu (Kelantan); kluster kumpulan berisiko tinggi (Tawar Empat di Johor) dan kluster pusat tahanan (DTI Bukit Jalil 2 di Kuala Lumpur). 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS