Negara dapat membuat penjimatan besar jika kerajaan tidak lagi melantik orang politik ke jawatan bukan eksekutif di syaikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata GLC berkaitan sebenarnya boleh beroperasi secara profesional dengan kakitangan yang mahir tanpa perlu campur tangan orang politik.
Pada masa sama katanya syarikat terbabit memang berada dalam kawalan menteri dan kabinet.
"Amalan yang ada sekarang adalah satu bentuk rasuah politik," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini sebagai mengulas penamatan khidmat Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, daripada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Kelmarin Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan surat memaklumkan khidmat Tajuddin ditamatkan, sehari selepas dia mengendalikan sidang media - dan mendapat kritikan ramai - berhubung kemalangan LRT di tengah Kuala Lumpur.
Tajuddin dilantik menjadi pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu.
Hassan berkata tugas dan tanggungjawab ahli parlimen yang tidak menganggotai kabinet ialah menjadi penggubal undang-undang sepenuh masa.
"Di situ sebenarnya kerja hakiki mereka, bukannya menguruskan LRT, sebagai contohnya," katanya.
Tambah Hassan dalam setiap GLC sudah ada pegawai eksekutif yang dibayar gaji tinggi untuk menjalankan operasi syarikat terbabit dan tidak ada keperluan menambah beban kewangan entiti itu dengan melantik orang politik.
"Bayangkan berapa ratus juta - malah mungkin bilion ringgit - dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya jawatan-jawatan bukan eksekutif ini dilupuskan?
"Bukan hanya jawatan pengerusi bukan eksekutif Prasarana sahaja yang perlu dilupuskan tetapi kepada banyak lagi dalam GLC lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felcra, Felda, Risda, Lembaga Tabung Haji, Syarikat Perumahan Negara, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi.
"Biarkan orang profesional yang layak, bermerit dan berintegriti menjalankan operasi GLC tersebut," katanya.